Persaingan sengit dalam segmen mudah alih, MIDF kekal panggilan Neutral ke atas Maxis | DagangNews Skip to main content

Persaingan sengit dalam segmen mudah alih, MIDF kekal panggilan Neutral ke atas Maxis

​​​​​​​Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

 

KUALA LUMPUR 17 Jan -  MIDF Research mengekalkan panggilan Neutral bagi Maxis Bhd berikutan persaingan mudah alih yang sengit dan prospek pertumbuhan hasil yang lemah.

 

Firma penganalisis itu turut tidak membuat sebarang perubahan ke atas harga sasaran saham sebanyak RM4.50 sesaham.

 

Ia berkata, cadangan pengambilalihan MyKRIS Asia Sdn Bhd (MyKRIS Asia) yang diumumkan Maxis pada 13 Oktober 2021 akan meningkatkan penggearan bersih Maxis kepada 1.29x daripada 1.27x.

 

"Sementara itu, sumbangan pendapatan daripada pengambilalihan itu dijangka tidak memberi kesan ke atas pendapatan Maxis," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Anak syarikat milik penuh Maxis Bhd (Maxis), Maxis Broadband Sdn Bhd (Maxis Broadband) memeterai perjanjian pembelian saham (SPA) dengan MyKRIS International Berhad (MyKRIS International) dan anak syarikat milik penuhnya, MyKRIS Net (MSC) Sdn Bhd serta Chang Wai Hoong dan Chew Choo Soon untuk mengambil alih MyKRIS Asia dengan jumlah pertimbangan tunai sehingga RM157.5 juta. 

 

Pengambilalihan yang telah dimuktamadkan itu mengukuhkan kedudukan Maxis sebagai penyedia penyelesaian tertumpu terkemuka di Malaysia dengan meningkatkan keupayaan Perkhidmatan Terurus Maxis.

 

Perkhidmatan tersebut merupakan jambatan penting menghubungkan ketersambungan rangkaian mudah alih dan gentian kelas terbaik Maxis dengan penyelesaian yang lebih luas termasuk perkhidmatan awan dan penyelesaian digital.

 

"Sumbangan pendapatan daripada pengambilalihan itu dijangka akan diiktiraf setelah selesai pengambilalihan pada 1QFY22. 

 

"Namun begitu, impak pendapatan jangka pendek dijangka minimum kerana sumbangan keuntungan MyKRIS sebanyak kira-kira RM9 juta adalah tidak signifikan berbanding keuntungan Maxis sebanyak RM1.4 bilion. 

 

"Oleh itu, kami tidak membuat perubahan pada ramalan pendapatan kami untuk FY21/22/23F," katanya.-DagangNews.com