Persekitaran ekonomi global mencabar, Lotte Chemical Titan diunjur terus mengalami kerugian pada 1QFY24 - TA Securities | DagangNews Skip to main content

Persekitaran ekonomi global mencabar, Lotte Chemical Titan diunjur terus mengalami kerugian pada 1QFY24 - TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Jan - TA Securities mengunjurkan Lotte Chemical Titan Holding Berhad terus mengalami kerugian pada 1QFY24 kesan daripada persekitaran ekonomi global yang mencabar.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan margin produk akan terus merosot sehingga akhir Jun 2024 (1HFY24) tetapi keadaan dijangka bertambah baik pada 2HFY24 berikutan pemotongan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) dan langkah-langkah rangsangan di China.

 

"Keputusan FY23 adalah selaras dengan jangkaan tetapi melibihi jangkaan konsensus.

 

“Kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih teras sebanyak RM891.6 juta pada FY23 (FY22: kerugian RM606.2 juta).

 

"Kami menganggarkan kerugian teras sebanyak RM907.1 juta, manakala konsensus meramalkan kerugian RM1.07 bilion untuk FY23," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Rugi bersih FY23 Lotte Chemical Titan meningkat 9% kepada RM812.7 juta

 

Terdahulu, prestasi yang lebih lemah itu adalah disebabkan penurunan sebaran margin selain bahagian kerugian daripada Lotte Chemical USA Corporation tetapi sebahagiannya diimbangi penurunan nilai inventori kepada nilai bersih boleh direalisasi. 

 

​Bagaimanapun, kerugian bersih bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2023 (4QFY23) susut sebanyak 42% kepada RM186.5 juta berbanding RM333.6 juta pada suku sama tahun sebelumnya disokong sebaran margin yang lebih baik hasil daripada kos bahan suapan yang lebih rendah serta keuntungan daripada tukaran mata wang asing.

 

TA Securities berkata, sama seperti suku tahun sebelumnya, kumpulan itu mengekalkan kadar penggunaan yang rendah pada 4QFY23 kesan daripada permintaan yang lemah.

 

Katanya, keadaan itu dicerminkan oleh kadar penggunaan kilang yang rendah sebanyak 66% pada 4QFY23 (3QFY23:66%; 4QFY22: 73%).

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'jual' terhadap Lotte Chemical Titan pada harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.05 sesaham.- DagangNews.com