KUALA LUMPUR 31 Mac - Inflasi yang dijangka meningkat pada separuh kedua tahun ini, mungkin mendorong Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalam (OPR) yang ketika ini berada paras rendah, 1.75%.
Secara dasarnya, bank pusat telah mengurangkan kadar faedah ini sebanyak 125 mata asas sejak tercetusnya pandemik COVID-19, langkah drastik yang mendorong OPR berada pada paras terendah setakat ini.
Penganalisis Public Investment Bank Research, Dr. Rosnani Rasul berkata, ketidaktentuan daripada pandemik di peringkat global dan pemulihan ekonomi yang baru muncul selepas krisis, bagaimanapun mungkin mendorong BNM untuk mengekalkan dasar akomodatifnya pada separuh pertama 2022.
Katanya, ia juga disebabkan konflik antara Rusia dan Ukraine yang tidak menentu sejak tercetusnya perang pada 24 Februari lalu.
"Namun begitu, jangkaan kenaikan inflasi keseluruhan yang diunjur melebihi 3% tahun ini mungkin menandakan berakhirnya persekitaran kadar faedah rendah, boleh mencetuskan kenaikan kadar faedah pada separuh kedua ini.
"Kenaikan yang akan berlaku juga didorong oleh guna tenaga penuh pada 2022 dan langkah awal untuk mengelakkan ketidakseimbangan kewangan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Semalam, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus dalam sesi taklimat secara maya mengumumkan Laporan Tahunan BNM 2021, menegaskan bahawa pendirian berkaitan dasar monetari semasa kekal wajar dan akomodatif berdasarkan unjuran serta pertumbuhan inflasi pada 2022.
Malah, bank pusat itu turut mengambil maklum mengenai keadaan tidak dijangka dan tidak pernah berlaku sebelum ini yang sebaliknya memerlukan sokongan monetari ketika kemuncak pandemik COVID-19 dan kini hampir berakhir.
Sejajar dengan penetapan OPR pada paras terendah 1.75%, BNM juga menyedari kesan serta impak mengekalkan paras berkenaan dalam tempoh lama serta boleh menyumbang kepada ketidakseimbangan kewangan.
Dalam laporan itu, BNM turut meramalkan inflasi keseluruhan akan bergerak antara 2.2% dan 3.2% pada 2022 dan inflasi teras antara 2% hingga 3%.
Menurut Rosnani, selain peningkatan faktor kos global terutama minyak, inflasi juga akan meningkat berikutan impak susulan daripada 8 program rangsangan fiskal pada 2021 dan tempoh lanjutan bagi persekitaran kadar faedah rendah.
"Namun, inisiatif awam-swasta untuk mewujudkan banyak peluang pekerjaan pada tahun ini akan memberi manfaat kepada inflasi.
"Risiko kenaikan inflasi juga mungkin terhad berikutan keputusan kerajaan mengekalkan harga siling barangan keperluan (iaitu, petrol, ternakan ayam) walaupun paras harga minyak global dan kos bahan mentah meningkat," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, prospek tahun ini bergantung kepada pelbagai faktor terutama keazaman untuk mewujudkan banyak peluang pekerjaan.
Katanya, penularan wabak COVID-19 juga boleh memburukkan keadaan memandangkan ia akan menjejaskan produktiviti dan seterusnya, output.
"Gangguan bekalan yang berpanjangan juga boleh memberi kesan susulan kenaikan kos sara hidup dan menjejaskan aktiviti penggunaan.
"Adalah penting untuk menyatakan bahawa risiko kepada unjuran pertumbuhan 2022 adalah condong ke bawah memandangkan pelbagai halangan termasuk ketidaktentuan daripada konflik Rusia-Ukraine.
"Di samping itu, gangguan rantaian bekalan, kemunculan varian baharu dan pertumbuhan perlahan di China juga boleh dilihat antara faktor yang boleh menjejaskan output dan juga pertumbuhan," katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, peralihan Malaysia kepada fasa endemik COVID-19 pada April ini akan menyokong pemulihan sepenuhnya sektor kritikal seperti perkhidmatan dan pelaburan swasta, justeru pemulihan dalam pertumbuhan ekonomi pada 2022.
"Secara kritis, perbelanjaan besar membabitkan COVID-19 akan berakhir tahun ini dan paras siling hutang fiskal akhirnya akan direndahkan kepada paras sebelum krisis, situasi yang menggalakkan untuk penarafan berdaulat kita dan secara lanjutan, kos pembiayaan fiskal kita," katanya.
Malah, beliau menyifatkan pembukaan sempadan mulai 1 April ini akan membawa perubahan kepada Malaysia dan memacu pemulihan sepenuhnya sektor perminatan terutamanya pelancongan, sekali gus menggalakkan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) dan juga pelaburan swasta.
Secara keseluruhan, Public Investment menjangkakan ekonomi Malaysia tahun ini akan berkembang pada 6.1% berbanding unjuran BNM antara 5.3% hingga 6.3%. - DagangNews.com