Pertimbang benarkan syarikat beroperasi penuh, jika lengkap 2 dos vaksin | DagangNews Skip to main content

Pertimbang benarkan syarikat beroperasi penuh, jika lengkap 2 dos vaksin

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Jun - Bagi menggalakkan pelaksanaan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) dan mengurangkan tanggungan syarikat, kerajaan memperuntukkan RM150 juta di bawah inisiatif ini.

 

PIKAS yang diselaraskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri adalah penting bagi meningkatkan kadar vaksinasi dengan cepat supaya penularan wabak ini dapat dikawal dengan lebih baik.


 

 

Pemulih

 

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muyiddin Yassin berkata, majikan yang berdaftar di bawah Perbadanan Sumber
Manusia Berhad (HRD Corp), boleh menggunakan baki levi semasa sehingga 10 peratus bagi kos pengurusan dan pembelian vaksin COVID-19.

 

Kerajaan juga katanya, akan memberi potongan cukai ke atas perbelanjaan merangkumi kos peralatan dan perkhidmatan penyediaan PPV oleh majikan. 

 

"Selain itu, potongan cukai ke atas sumbangan COVID-19 melalui projek komuniti atau amal juga diperluaskan meliputi sumbangan kepada PPV.

 

"Kerajaan bersedia mempertimbangkan kebenaran kepada syarikat untuk beroperasi pada kapasiti penuh sekiranya semua pekerja telah lengkap dua dos vaksin," katanya. 

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan petang ini bagi mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bernilai RM150 bilion.

 

Menurut Perdana Menteri, bagi memastikan golongan rentan tidak terkecuali daripada mendapatkan suntikan vaksin, beberapa program di peringkat komuniti juga akan disegerakan. 

 

Antaranya, pendaftaran untuk vaksinasi serta pemberian subsidi sehingga RM30 atas kos tambang teksi dan e-hailing untuk golongan OKU dan warga emas bagi memudahkan pergerakan mendapatkan vaksin pada
hari temu janji mereka. - DagangNews.com