Pertubuhan Pendidikan Azzahra sasar bantu 2,000 pelajar tahfiz duduki SPM mulai tahun hadapan | DagangNews Skip to main content

Pertubuhan Pendidikan Azzahra sasar bantu 2,000 pelajar tahfiz duduki SPM mulai tahun hadapan

Para sukarelawan Pertubuhan Pendidikan Azzahra bergambar selepas mengadakan program gotong-royong dan kerja-kerja baik pulih infrastruktur di Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Muthiah, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Okt - Pertubuhan Pendidikan Azzahra (PPA) menyasarkan untuk membantu seramai 2,000 pelajar daripada 40 buah maahad tahfiz di Selangor menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mulai tahun hadapan.

 

Setiausaha Agung PPA, Muhammad Shahrilazhar Zakaria berkata, bagi para pelajar tahfiz, pendidikan agama merupakan keutamaan utama, tetapi terdapat keperluan yang berkembang dalam kalangan mereka untuk mendapatkan SPM. 

 

"Namun, dalam era globalisasi ini, keperluan pelajar untuk memperoleh sijil yang diiktiraf secara nasional semakin meningkat. Para pelajar tahfiz menyedari pentingnya SPM sebagai pintu masuk ke alam pekerjaan atau seterusnya pendidikan tinggi.

 

"PPA memahami bahawa pelajar tahfiz memerlukan sokongan dan bimbingan tambahan untuk menghadapi peperiksaan SPM. Program yang disediakan PPA bertujuan untuk memberi mereka peluang untuk mengambil peperiksaan tersebut tanpa perlu memikul sebarang kos," katanya kepada DagangNews.com di sini, hari ini.

 

Menurut Muhammad Shahrilazhar, pihaknya kini sedang membantu seramai 300 pelajar tahfiz untuk persiapan bagi menduduki SPM pada tahun ini.

 

Katanya, bagi merealisasikan usaha itu, pihaknya menawarkan bantuan pendidikan, termasuk kelas tuisyen secara dalam talian, buku-buku latihan, pendaftaran SPM dan bantuan infrastruktur maahad tahfiz.

 

"Salah satu keperluan utama pelajar tahfiz dalam mengambil SPM adalah kekurangan dana. Maahad tahfiz terutamanya mengutamakan pendidikan agama, dan seringkali terdapat kekurangan sumber kewangan untuk menyediakan program tambahan seperti tuisyen SPM," katanya.

 

 

PPA
Muhammad Shahrilazhar Zakaria

 

 

Beliau berkata, PPA berfungsi sebagai perantara antara maahad tahfiz dan penyumbang yang ingin memberikan sumbangan mereka untuk pendidikan pelajar tahfiz.

 

Katanya, PPA mengumpulkan sumbangan daripada orang ramai yang peka terhadap keperluan pelajar tahfiz dalam mengambil SPM. 

 

 

PPA

 

 

"Sumbangan ini digunakan untuk menyediakan program-program pendidikan tambahan secara percuma kepada pelajar-pelajar tahfiz yang terlibat. Dengan sokongan dan sumbangan ini, PPA dapat memastikan bahawa pelajar-pelajar tahfiz mendapat akses kepada bimbingan dan bahan pendidikan yang diperlukan untuk menghadapi peperiksaan SPM," katanya.

 

Sementara itu, beliau turut menyangkal dakwaan segelintir pihak bahawa PPA terlibat dengan aktiviti penipuan 'scammer' berikutan melibatkan sumbangan orang ramai.

 

 

PPA

 

 

"Kami turut kesal dengan dakwaan itu. Kami mahu orang ramai percaya dan yakin dengan usaha kami bahawa sumbangan mereka 'sampai' kepada mereka yang memerlukan," katanya. - DagangNews.com