Pertumbuhan ekonomi Malaysia mungkin melepasi anggaran rasmi - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan ekonomi Malaysia mungkin melepasi anggaran rasmi - Tengku Zafrul

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz diwawancara pada forum Pemulihan dan Ketahanan: Tumpuan pada forum Perniagaan ASEAN pada 12 September 2022.

KUALA LUMPUR 12 Sept - Pertumbuhan ekonomi Malaysia mungkin melepasi anggaran rasmi antara 5.3 dan 6.3 peratus pada 2022 kerana negara menyaksikan pertumbuhan lebih pantas pada suku kedua pada 8.9 peratus dan menjangkakan prestasi kukuh pada suku ketiga.

 

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia berkemungkinan mencatat pertumbuhan lebih kukuh pada suku ketiga walaupun berdepan ekonomi global yang lebih lemah serta peningkatan dolar AS.

 

“Nombor baharu (ramalan) akan diumumkan pada 7 Oktober ini.

 

“Juga penting ialah inflasi di Malaysia kini sekitar 2.8 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama, dasar monetari kita kekal akomodatif walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) telah meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak (satu lagi) 25 mata asas kepada 2.50 peratus yang masih lebih rendah daripada sebelum krisis (COVID-19) pada 3.0 hingga 3.25 peratus," katanya pada forum Pemulihan dan Ketahanan: Tumpuan pada forum Perniagaan ASEAN hari ini.

 

Forum hibrid separuh hari itu dianjurkan oleh Bloomberg.

 

Tengku Zafrul berkata, subsidi telah membantu meredakan tamparan harga tenaga yang tinggi ke atas rakyat Malaysia dan juga dalam menguruskan kadar inflasi, bagaimanapun, bil subsidi akan berada dalam lingkungan RM80 bilion tahun ini, yang merupakan yang terbesar dalam sejarah negara.

 

"Kami bertuah melihat kedudukan kami hari ini tahun ini. Sudah tentu, Malaysia sebagai pengeksport bersih komoditi telah membantu. Kami adalah sebahagian daripada rantaian bekalan (global) untuk pembuatan," tambahnya, Bernama melaporkan.


 

MoF

 


Bagi Bajet 2023, menteri kewangan berkata kerajaan akan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu mengekalkan pertumbuhan ekonomi, memastikan pertumbuhan ekonomi mampan dan inklusif serta tanggungjawab fiskal.

 

Tengku Zafrul berkata sektor kewangan kekal stabil di tengah-tengah pengetatan secara beransur-ansur kadar faedah oleh BNM. "Jelas sekali, terdapat kesan sampingan daripada peningkatan kadar faedah kepada ekonomi. (Tetapi) apa yang kita lihat ialah ekonomi kita berkembang kukuh, jadi kita mampu untuk menaikkan kadar itu," katanya.

 

Mengenai ringgit, Tengku Zafrul menegaskan bahawa kerajaan tidak akan terlalu tertumpu kepada prestasi mata wang itu kerana ia terus memberi tumpuan kepada prestasi jangka pertengahan hingga panjang ekonomi.

 

"Anda perlu memahami kadar inflasi di AS. Alat monetari yang terdapat di Malaysia atau pasaran lain bergantung pada senario ekonomi negara tertentu.

 

"Kadar inflasi di Malaysia dalam tempoh enam hingga tujuh bulan pertama (2022) ialah 2.8 peratus, jadi kita boleh mempunyai dasar ekonomi yang akomodatif, (dengan) sokongan fiskal yang sangat besar," tambahnya. - DagangNews.com