Pertumbuhan Karex dijangka meningkat ketara susulan pengiktirafan terbaharu EU - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan Karex dijangka meningkat ketara susulan pengiktirafan terbaharu EU - Kenanga Research

Karex terima pensijilan CE ke atas produk kondom sintetik terbaharunya. -Gambar Karex Berhad
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 Julai - Pensijilan CE Kesatuan Eropah (EU) yang diterima Karex Berhad untuk produk kondom sintetik baharunya telah meningkatkan dengan ketara potensi pertumbuhan syarikat itu.

 

Kenanga Research berkata, perkembangan terbaharu ini akan menyaksikan pesanan besar diterima berkemungkinan besar pada tahun kewangan 2026 (FY26) dan seterusnya. 

 

"Kami difahamkan Karex telah menerima sijil CE untuk kondom sintetik baharu mereka. Dengan produk ini kini disahkan mematuhi standard kesihatan, keselamatan dan perlindungan alam sekitar EU, ia kini boleh dipasarkan di seluruh Kawasan Ekonomi Eropah yang terdiri daripada EU, Norway, Iceland, dan Liechtenstein.

 

"Perkembangan terbaru ini telah secara signifikan meningkatkan potensi pertumbuhan Karex, walaupun kami mengakui bahawa masa diperlukan bagi klien OEM mereka untuk menilai respons pasaran terhadap produk sebelum mereka mula menempatkan pesanan besar, yang mungkin berlaku pada FY26 dan seterusnya," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut Kenanga Research, Karex merancang untuk bekerjasama dengan klien OEM utamanya untuk melancarkan kondom sintetik pada 2HFY25. 

 

Jelas firma penyelidikan itu, syarikat tersebut menghasilkan produk untuk lebih daripada 200 klien OEM, termasuk jenama-jenama besar seperti Durex dan Lifestyles.

 

Katanya, Karex juga sedang menunggu kelulusan Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat Amerika Syarikat (FDA) yang akan membolehkannya memasarkan produk tersebut di AS.

 

"Pasaran kondom global bernilai AS$8 bilion pada tahun 2022. Kondom lateks mendominasi 82.4% bahagian pasaran. Bakinya, sekitar 17.6%, bernilai sekitar AS$1.4 bilion, terdiri daripada kondom sintetik. 

 

"Durex menduduki posisi dominan dalam industri kondom dengan penguasaan 35.6% pasaran. Permintaan untuk kondom sintetik (yang dibuat dari bahan seperti poliisoprena, poliuretan, dan nitril) mengalami pertumbuhan yang kuat terutama di Amerika Utara, Eropah dan Amerika Latin di mana populasi lebih rentan terhadap alergi lateks," jelasnya.

 

Dalam pada itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan ramalan pendapatan Karex dengan harga sasaran (TP) RM1.10 dan saranan 'Outperform'.

 

"Untuk berjaga-jaga, pada masa ini kami tidak memasukkan sebarang sumbangan dari produk kondom sintetik dalam tempoh ramalan kami," ujarnya. - DagangNews.com