Pertumbuhan pasaran buruh mungkin ‘terbantut’ sebab PKP 3.0  | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan pasaran buruh mungkin ‘terbantut’ sebab PKP 3.0 

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Mei - Pilihan untuk menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ke atas beberapa daerah dan negara mungkin merencatkan pertumbuhan pasaran buruh negara yang mula menunjukkan pemulihan pada Mac 2021. 

 

Kedua-dua penganalisis di UOB Research, Julia Goh dan Loke Siew Ting meramalkan penguatkuasaan itu mungkin mendatangkan impak bagi tempoh beberapa bulan akan datang. 

 

“Kebanyakan aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi seperti biasa, namun pergerakan sosial terhad kepada pekerjaan dan aktiviti penting. 

 

“Perintah kerja dari rumah, yang hanya membenarkan 30% kakitangan pengurusan di pejabat juga diperkenalkan semula di kawasan-kawasan di bawah penguatkuasaan PKP 3.0.

 

“Namun, tanpa perintah berkurung yang ketat di samping sektor ekonomi dibenarkan beroperasi, bersama-sama sokongan berterusan daripada inisiatif pengambilan pekerjaan dan peningkatan kemahiran oleh kerajaan, ini dapat mengelakkan daripada penyusutan dalam kadar buruh,” jelas mereka dalam satu nota kajian.

 

Sebagai rekod, di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.3 bilion berbentuk geran; RM1.1 bilion untuk pengekalan pekerjaan; dan sekitar RM1.2 bilion hingga RM1.5 bilion berbentuk tunai bagi menyokong perniagaan dan pekerjaan. 

 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) melaporkan kadar pengangguran Malaysia menyusut kepada 4.7% bagi Mac 2021, menurun 0.1 mata peratusan daripada bulan sebelumnya.

 

“Kami menjangkakan pertumbuhan pasaran buruh dalam masa terdekat ini akan ‘terbantut' dengan pelaksanaan PKP 3.0 bersasar, di mana meliputi hab komersial dan pengambilan pekerjaan terutamanya di Kuala Lumpur dan Selangor bagi mengekang penularan COVID-19,” ramal CGS-CIMB Research yang senada UOB. 

 

Bagi laporan yang sama, jumlah individu yang mendapat pekerjaan melonjak 0.4% bagi perbandingan bulan ke bulan (m-o-m), sementara jumlah penganggur pula jatuh 3.1%.

 

Di sebalik pelaksanaan PKP 3.0, MIDF Research bagaimanapun masih mengekalkan unjuran kadar pengangguran kepada purata 4.3% bagi tahun ini, penurunan sedikit daripada 4.5% dicatatkan pada 2020. 

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan situasi pasaran buruh akan terus bertambah baik bagi April 2021 susulan kelonggaran PKP walaupun permintaan buruh dan kerja kosong di beberapa kawasan mungkin terjejas bagi tempoh sementaran disebabkan oleh PKP bersasar. 

 

“Ini mengambil kira penambahbaikan dalam situasi pasaran buruh pada Mac 2021, pemulihan setakat ini dalam ramalan semasa kami. Dengan PKP 2.0 berakhir, kami menjangkakan pasaran buruh akan terus pulih yang akan disokong oleh inisiatif kerajaan seperti program subsidi upah, geran dan mikro kredit kepada perniagaan kecil, insentif pengambilan pekerjaan Penjana Kerjaya dan MySTEP di sektor awam. 

 

“Kami menjangkakan impak daripada PKP bersasar di beberapa kawasan akan terutamanya menjejaskan perbelanjaan domestik, sekurang-kurangnya dalam masa terdekat; impak keseluruhannya terhadap pertumbuhan tidak akan signifikan memandangkan aktiviti di kawasan lain dan operasi perniagaan secara umumnya diteruskan,” jelas MIDF dalam nota kajian berbeza. - DagangNews.com