Pertumbuhan pendapatan sektor penerbangan diunjur meningkat pada 2024 – HLIB | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan pendapatan sektor penerbangan diunjur meningkat pada 2024 – HLIB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Dis - Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengekalkan penarafan ‘overweight’ pada sektor penerbangan dan menjangkakan pertumbuhan pendapatan sektor selanjutnya pada 2024 selepas pemulihan pada 2023.

 

Firma penyelidikan itu berkata sektor itu akan mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan perjalanan udara, terutamanya segmen antarabangsa dipacu oleh China dan India, seiring dengan pengembalian semula pesawat untuk menampung permintaan yang lebih tinggi.

 

Di samping itu, firma itu berkata jangkaan susut nilai dolar Amerika Syarikat dan penurunan harga bahan api jet bakal meningkatkan keuntungan sektor itu.

 

Apabila aktiviti global dan keperluan perjalanan antarabangsa menjadi normal, HLIB berkata ia menyaksikan peningkatan kukuh dalam permintaan perjalanan dalam ASEAN pada mulanya, manakala perjalanan antarabangsa (bukan ASEAN) mula meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

 

“Bagi 2024, kami menjangkakan pertumbuhan dipacu terutamanya oleh segmen pelancongan antarabangsa memandangkan kelonggaran keperluan visa untuk China dan India, seterusnya mempercepatkan peningkatan dalam campuran perjalanan antarabangsa.

 

“Secara keseluruhannya, sektor penerbangan dijangka mendapat keuntungan daripada campuran perjalanan antarabangsa yang semakin baik memandangkan perjalanan antarabangsa menguasai kuasa perbelanjaan lebih tinggi dan memberikan margin yang lebih tinggi,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut HLIB, meskipun terdapat halangan besar akibat pandemik pada 2020, keseluruhan sektor penerbangan berjaya mengekalkan kecairan tunainya sepanjang tempoh tersebut dan kini sedang mengalami pemulihan kukuh dalam permintaan perjalanan udara pada 2023.

 

“Dalam keputusan terkini bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melaporkan kedudukan kunci kira-kira yang agak sihat dengan ekuiti pemegang saham berjumlah RM6.7 bilion, RM2 bilion tunai, RM640.6 juta hutang jangka pendek dan RM27 juta liabiliti pajakan jangka pendek.

 

"MAHB terus mencatatkan aliran tunai operasi positif pada RM972.3 juta untuk 9MFY23 dengan keuntungan RM212.5 juta," katanya.

 

Sebaliknya, Capital A Bhd masih dalam kedudukan kewangan yang lemah, dengan RM8.4 bilion kedudukan ekuiti pemegang saham negatif, RM578.5 juta tunai, RM945.8 juta hutang jangka pendek dan RM5.1 bilion liabiliti pajakan jangka pendek.

 

Bagaimanapun, HLIB berkata Capital A mampu mengubah aliran tunai operasinya kepada positif (RM1.5 bilion), dengan keuntungan yang dilaporkan sebanyak RM996.6 juta untuk 9MFY23, didorong oleh penyatuan keuntungan Thai AirAsia pada 2QFY23.

 

Firma itu menyarankan pelabur membeli Capital A dengan harga sasaran (TP) RM1.40 sesaham dan MAHB pada TP RM8.90. - DagangNews.com