Pertumbuhan pinjaman bank dijangka menurun pada kadar antara 4% hingga 5% pada 2023, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan pinjaman bank dijangka menurun pada kadar antara 4% hingga 5% pada 2023, kata CGS-CIMB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Jan - CGS-CIMB Research menjangkakan pertumbuhan pinjaman bank akan menurun pada kadar normal antara 4% hingga 5% pada 2023 berbanding 5% hingga 6% pada 2022.

 

Firma itu berkata, penurunan itu adalah sejajar dengan jangkaan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang lebih lemah sebanyak 4.4% pada 2023 berbanding 8.4% pada 2022.

 

"Walaupun terdapat kesan negatif daripada kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) dan peningkatan inflasi, nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) bank hanya meningkat sebanyak 1 mata asas kepada 1.83% pada akhir November 2022, lebih rendah daripada unjuran nisbah GIL kami sebanyak 2.0 -2.2% untuk akhir 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, perlindungan kerugian pinjaman bank menjadi semakin kukuh daripada 96.7% pada akhir Oktober 2022 kepada 98.1% pada akhir November 2022.

 

Katanya, pada 11MFY22, GIL industri melonjak sebanyak 14.6%, melonjakkan nisbah GIL daripada 1.68% pada akhir Disember 2021 kepada 1.83% pada akhir November 2022.

 

"Peningkatan aliran dalam nisbah GIL adalah didorong bantuan pembayaran balik bank kepada peminjam sejak 3QFY21," katanya.

 

Firma itu berkata, pertumbuhan pinjaman yang lebih lemah pada November 2022 disebabkan pembayaran balik pinjaman yang lebih tinggi, yang meningkat sebanyak 22.7% terutama dalam segmen pinjaman perniagaan.

 

"Kami berpendapat ini disebabkan oleh langkah beberapa syarikat untuk mengurangkan saiz pinjaman mereka memandangkan peningkatan kos pembiayaan.

 

"Sementara itu, pertumbuhan dalam pengeluaran pinjaman industri kekal sihat pada 13.8%," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor bank berdasarkan potensi pemangkin penilaian semula daripada pengembangan berterusan dalam margin faedah bersih (NIM) dan pertumbuhan lebih kukuh dalam pendapatan bukan faedah pada 2023.

 

"Kami mengunjurkan pertumbuhan keuntungan bersih teras yang kukuh sebanyak 20.5% untuk bank pada 2023 selain ketiadaan cukai Cukai Makmur," katanya. - DagangNews.com