Pertumbuhan PKS dijangka pulih secara beransur tahun ini, kata Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan PKS dijangka pulih secara beransur tahun ini, kata Muhyiddin

PKS di Malaysia membentuk sekitar 98.5% daripada jumlah keseluruhan entiti perniagaan di negara ini. - Gambar PKNS Shah Alam

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Jun - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia dijangka kembali pulih perlahan-lahan pada tahun 2021, selari dengan unjuran peningkatan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhannya.

 

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi dan Belanjawan 2021 akan membantu PKS meringankan kekangan aliran tunai dan meningkatkan daya tahan perniagaan. 

 

“Selain pakej rangsangan yang telah diumumkan tersebut, kerajaan turut melaksanakan inisiatif tambahan yang bertujuan untuk memudah cara perniagaan, khususnya di kalangan PKS termasuk enterpris mikro. 

 

“Salah satu inisiatif tersebut adalah pembangunan portal MyAssist MSME yang menyediakan platform kepada PKS untuk mendapatkan maklumat, khidmat nasihat, bimbingan dan peluang pemasaran secara dalam talian. 

 

“Platform ini akan dapat membantu PKS menangani permasalahan dan isu berkaitan perniagaan dalam keadaan norma baharu. Ini adalah bukti komitmen kerajaan untuk memastikan PKS tempatan terus diperkasa dalam mendepani cabaran semasa,” jelas Muhyiddin dalam ucapannya yang direkodkan lebih awal pada majlis pelancaran portal MyAssist MSME secara maya hari ini.

 

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

 

Tambah Muhyiddin, portal MyAssist MSME merupakan satu penyelesaian norma baharu bagi keperluan kemudahan perniagaan di bawah ‘One Stop Centre’. 

 

Portal MyAssist MSME merangkumi empat komponen utama iaitu pusat maklumat PKS, khidmat nasihat, padanan perniagaan dan ekspo perniagaan. 

 

Kata Muhyiddin lagi, Malaysia juga tidak terkecuali daripada menerima kesan pandemik COVID-19 yang telah menyebabkan pertumbuhan PKS pada tahun 2020 di negara ini diunjurkan menguncup pada kadar 5.4%. 

 

Beliau menekankan pendigitalan merupakan elemen penting bukan sahaja untuk memulihkan perniagaan, tetapi juga kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan.

 

Sejak tahun lalu, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM147.1 bilion khusus untuk membantu PKS menerusi beberapa siri pakej rangsangan ekonomi dan Belanjawan 2021.

 

"PKS adalah merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara kita. PKS di Malaysia membentuk sekitar 98.5% daripada jumlah keseluruhan entiti perniagaan di negara ini, yang wujud di setiap lapisan sektor.

 

"Pada tahun 2019, sumbangan PKS kepada KDNK adalah sebanyak 38.9%, serta menyumbang sebanyak 17.9% kepada eksport negara. Secara keseluruhannya, PKS di negara ini telah berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada lebih 7.3 juta orang," ujar beliau lanjut. - DagangNews.com