Perumahan Generasi Baharu Felda terbengkalai dibina semula akhir tahun ini, siap diduduki Disember 2024 - PM | DagangNews Skip to main content

Perumahan Generasi Baharu Felda terbengkalai dibina semula akhir tahun ini, siap diduduki Disember 2024 - PM

Gambar Proven Holding
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

BERA 27 Okt - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai akan dimulakan pada bulan Disember ini dan dijangka siap untuk diduduki pada bulan Disember 2024.

 

Ismail Sabri berkata, projek tersebut akan disiapkan menerusi inisiatif pembiayaan swasta dengan kos pembangunan RM204 juta. 

 

Beliau berkata, pada sambutan Hari Peneroka FELDA 2022 yang diadakan pada bulan Julai lepas, beliau sendiri telah mengumumkan pelbagai bentuk inisiatif untuk membantu warga Felda termasuk generasi baharunya.

 

"Pengumuman itu antara lainnya melibatkan model PGBF yang ditambah baik dengan memperkenalkan inisiatif lot generasi Felda. Sebanyak 8,670 unit lot generasi Felda telah dikenal pasti dan 770 unit telah pun dilaksanakan secara undian lot.

 

"Saya juga mengumumkan dana berjumlah RM20 juta yang diperuntukkan menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan kepada pinjaman-pinjaman perumahan dalam kalangan generasi baharu Felda. Di bawah skim ini, mereka tidak memerlukan sebarang cagaran bagi membuat pinjaman tertakluk sehingga dana ini habis dimanfaatkan," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Himpunan Keluarga Felda Teguh Bersama di padang awam Felda Mayam di sini hari ini.

 

Pada majlis tersebut, kerajaan telah menyerahkan peruntukan dana khas sebanyak RM934,000 kepada 14 buah rancangan tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Parlimen Bera.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika tiba pada Majlis Himpunan Keluarga Felda Teguh Bersama di padang awam Felda Mayam, Bera, Pahang pada 27 Oktober 2022. - Gambar BERNAMA

 

 

Perdana Menteri berkata, pada sambutan Hari Peneroka Felda 2022, beliau telah mengumumkan peruntukan khas RM66,000 bagi setiap rancangan tanah sempena ulang tahun ke-66 Felda, kerana infrastruktur yang sempurna penting kepada kesejahteraan warganya.

 

Beliau berharap peruntukan ini akan digunakan sebaiknya bagi menaik taraf infrastruktur terlibat sekaligus meningkatkan tahap keselamatan selain memberi keceriaan kepada kawasan rancangan.

 

"Kerajaan turut bersetuju memberi Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil getah Felda di seluruh negara sebanyak RM800 sebulan selama empat bulan. Ini kerana kerajaan memahami cabaran dan kepayahan yang dihadapi pekebun kecil getah pada musim tengkujuh.

 

"Selain itu, kerajaan juga meluluskan peruntukan RM1 bilion bagi tujuan penstrukturan semula hutang-hutang Felda," katanya.

 

Beliau berkata, bagi memberikan peluang kepada generasi baharu untuk melebarkan perniagaan mereka, beliau telah mengumumkan penubuhan Tabung Usahawan Belia Felda dengan dana pusingan sebanyak RM10 juta. 

 

"Alhamdulillah, sejumlah 23 permohonan telah diterima di peringkat wilayah dan permohonan ini seterusnya akan dibawa ke peringkat ibu pejabat untuk kelulusan. Saya menyeru kepada Felda supaya menyegerakan proses ini bagi memastikan manfaat kepada generasi baharu dapat dioptimumkan," katanya.

 

Ujarnya, kerajaan turut memperuntukkan sejumlah RM2.6 bilion kepada tiga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) iaitu Felda, Felcra Berhad (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

 

Beliau berkata, Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang diperkenalkan bagi meningkatkan serta mempelbagaikan pendapatan peneroka mula membuahkan hasil apabila 8,637 projek telah diluluskan dengan peruntukan RM237 juta. 

 

"Di Parlimen Bera ini sahaja, sejumlah 184 projek telah diluluskan dengan peruntukan RM8.4 juta manakala di seluruh negara, projek-projek yang dilaksanakan telah berjaya memberikan purata pendapatan bulanan sebanyak RM444 kepada para peneroka terlibat.

 

"Felda juga menyertai projek jagung bijirin yang melibatkan peruntukan RM20 juta dengan kerjasama FGV di tanah seluas 3,500 hektar yang mana 200 hektar daripadanya merupakan tanah milik Felda.

 

"Tahniah saya ucapkan kepada Felda dan FGV kerana membantu kerajaan memperkasakan sekuriti makanan negara," katanya. - DagangNews.com