Pesawat Airbus A400M TUDM selesai dinaik taraf bagi meningkatkan keupayaan operasi udara | DagangNews Skip to main content

Pesawat Airbus A400M TUDM selesai dinaik taraf bagi meningkatkan keupayaan operasi udara

Pesawat A400M TUDM.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 26 Dis - Keupayaan pesawat pengangkut strategik Airbus A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dipertingkatkan apabila dua daripada empat pesawat itu telah dinaik taraf.

 

Pesawat terbaharu selesai menjalani proses naik taraf keupayaan taktikal di Airbus Final Assembly Line, Seville, Sepanyol.

 

Peningkatan itu membolehkan pesawat melaksanakan misi baharu seperti penghantaran udara, operasi pasukan payung terjun penuh atau penerbangan tahap rendah.

 

Mengikut perancangan, baki dua lagi pesawat akan menjalani proses sama mengikut sepertimana dirancang.

 

A400
Pegawai dan kru TUDM meninjau fasiliti pesawat A400 Perancis.

 

Airbus
Kedua-dua pihak TUDM dan FASF berkongsi pandangan mengenai operasi pesawat Airbus A400.

 

Pesawat Airbus A400M milik No 8 Skuadron TUDM itu kemudian telah terbang ke Pangkalan Udara Orleans, Perancis bagi menyempurnakan latihan perkongsian kepakaran (SMEE) di sana.

 

Program SMEE yang diketuai Panglima Wilayah Udara 2, Mej Jen Dato’ Wan Amin Hafiz melibatkan TUDM dan France Air and Space Force (FASF). 

 

Ia membabitkan dua kumpulan iaitu anak kapal dan tim kejuruteraan.

 

Program dua hari ini antaranya melawat ke pusat simulator pesawat dan pusat fasiliti latihan bagi anak kapal A400M FASF.  

 

Ia bertujuan memberi pendedahan berkenaan kemudahan latihan yang disediakan kepada kru. 

 

Airbus
Ruang pesawat A400M lebih besar dan mampu membawa ramai anggota payung terjun.

 

Airbus

 

Anak kapal No 8 Skuadron juga telah di beri peluang untuk menerbangkan Full Flight Simulator (FFS) milik FASF. 

 

Kedua-dua pihak iaitu TUDM dan FASF turut berkongsi pengetahuan tentang pengalaman mengoperasikan pesawat Airbus A400M.

 

Sebelum ini, pesawat pertama A400M TUDM juga telah melalui proses sama di Sepanyol pada Februari lalu.

 

Selesai dinaik taraf, kebolehan pesawat ini untuk melakukan operasi lintas udara diuji pada Mac lalu melibatkan penerjunan statik oleh pasukan 10 Briged Para dan TUDM.

 

Airbus

 

Tujuan utama adalah untuk meningkatkan keupayaan aturgerak kedua-dua perkhidmatan bagi tujuan operasi dan latihan. 

 

Sebagai perbandingan, A400M boleh membawa sehingga 116 anggota payung terjun manakala pesawat Hercules C-130 pula 64 anggota.

 

Dengan jumlah sekali ganda ini bermakna empat buah A400M boleh menghantar satu batalion pasukan atur gerak cepat manakala C-130 memerlukan lapan buah pesawat.

 

TUDM mengoperasikan empat buah pesawat pengangkut A400M bagi menyokong operasi udara termasuk melakukan penerbangan jarak jauh dan misi selain ketenteraan.

 

Sejak diterima pada tahun 2015, Airbus A400M telah pun melonjakkan keupayaan udara TUDM apabila berjaya menyempurnakan misi-misi yang dilaksanakan.

 

Ini termasuklah pengangkutan kargo dan anggota, misi kemanusiaan dan bantuan bencana, pengangkutan peralatan berat, sokongan kepada strategi nasional dalam memerangi pandemik, pengangkutan perubatan, serta operasi mengisi minyak dari udara ke udara. 

 

TUDM menjadi pelanggan eksport pertama program Airbus A400M semasa dibangunkan oleh konsortium Eropah tersebut dan merupakan pengendali A400M pertama di rantau Asia Pasifik.

 

Dengan lebih 10,000 jam penerbangan direkodkan, pengoperasian pesawat ini oleh TUDM sangat cemerlang dan mendapat pengiktirafan pihak Airbus. - DagangNews.com