KUALA LUMPUR 6 Julai - Pengendali perkhidmatan udara komersial yang berpangkalan di Jakarta, Indonesia, PT. Smart Cakrawala Aviation muncul sebagai penerima sulung secara elektronik pesawat H130 sekali gus menjadi pelanggan pertama Airbus Helicopters di peringkat Asia Pasifik.
Penyerahan yang dibuat secara elektronik atau e-penyerahan itu jauh lebih mudah seiring dengan pematuhan peraturan kesihatan dan keselamatan COVID-19.
Menurut Ketua Airbus Helicopters Asia Pasifik, Vincent Dubrule, penyerahan itu dilakukan di Pusat Penyerahan Serantau Airbus Helicopters di Subang dan berlangsung dengan jayanya tanpa memerlukan pertemuan fizikal atau perjalanan rentas sempadan.
"Kami gembira kerana Smart Cakrawala Aviation bukan hanya pelanggan baharu, malah menjadi pengendali pertama di Asia Pasifik yang menerima helikopter mereka melalui sistem penyerahan elektronik inovatif. Menerusi proses itu juga, pemeriksaan dan ujian penerbangan dilakukan oleh kakitangan Airbus yang diberi kuasa menggantikan kakitangan bagi pihak pelanggan.
"Ini termasuk ujian penerbangan, foto dan video pemeriksaan helikopter, pemeriksaan objek longgar, penyahjangkitan pesawat serta pengesahan dokumen pesawat. Helikopter ini akan dihantar ke Indonesia dalam tempoh dua minggu lagi kepada pelanggan di Jakarta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
H130 akan menjadi helikopter pertama Smart Cakrawala Aviation yang dikhaskan untuk tujuan pengangkutan penumpang, kargo, tinjauan udara serta rondaan kebakaran.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Smart Cakrawala Aviation, Pongky Majaya berkata, penyerahan secara eletronik itu disifatkan sebagai penyerahan yang berjaya dan memuji kemampuan Airbus dalam mengendalikan perkara tersebut.
"Kami gembira dan tetap yakin dengan kemampuan Airbus yang dapat membantu mempercepatkan proses operasi syarikat serta keberadaan H130 yang jelas dapat meningkatkan kemampuan misi kami," katanya. - DagangNews.com