KUALA TERENGGANU 10 Okt - Pesta Peranakan Cina Terengganu 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Kuala Terengganu City Centre (KTCC) memberi peluang mengenali masyarakat Peranakan Cina yang sudah ada di negeri itu sejak abad ke-14.
Penasihat Persatuan Peranakan Cina Terengganu, Alex Lee Yun Ping berkata, pesta itu diharap dapat memberi perspektif dan ilmu baharu kepada pelancong terhadap keunikan komuniti Peranakan Cina Terengganu yang berbeza dengan negeri lain.
Menurutnya, komuniti tersebut yang terkenal dengan gelaran Mek dan Awang di Terengganu dikatakan sudah mula wujud sejak abad ke-14 iaitu ketika Kuala Terengganu menjadi persinggahan utusan kerajaan Ming China iaitu Laksamana Zheng He atau Cheng Ho antara tahun 1405 dan 1433.
Tambahnya, kebanyakan golongan peranakan itu berasal dari daerah Fujian di China selatan yang tiba dan menetap di beberapa lokasi di Terengganu dari abad ke-14 hingga abad ke-17.
"Istimewanya mereka ini kerana masih mengamalkan warisan budaya nenek moyang namun pada masa sama tidak kekok bertutur dalam loghat Terengganu, memakai kain batik dan kebaya serta menikmati hidangan orang Melayu termasuk budu dan belacan.
"Semua keunikan komuniti Peranakan Cina Terengganu ini akan diketahui dengan lebih terperinci melalui pesta yang berlangsung ini dan diharap mampu menarik kedatangan pelancong untuk menyelami kehidupan seharian mereka di beberapa kampung tradisi seperti Kampung Tiruk di Marang dan Kampung Cina di Kuala Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Pesta Peranakan Cina Terengganu 2023 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris di Kuala Terengganu City Centre malam tadi.
Pelbagai persembahan kesenian diadakan sepanjang pesta itu berlangsung antaranya pameran pakaian Han Fu, pakaian Kebaya Potong Kot, batik lukis motif Peranakan, persembahan tarian naga dan tarian singa melibatkan komuniti tersebut.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peranakan Cina Terengganu, Dr Wee Tiong Wah berkata, budaya mereka yang turut dikenali sebagai 'Cheng Mua Lang' atau komuniti orang yang pakai kain itu juga sewajarnya diketengahkan agar tidak pupus ditelan zaman.
"Kami sangat berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan negeri yang sentiasa menyokong apa juga aktiviti yang dilakukan komuniti terutama dari aspek pelancongan berasaskan budaya, seni dan warisan Peranakan Cina Terengganu.
"Terbaru, cadangan kerajaan negeri ialah untuk mewujudkan lokasi pelancongan berasaskan komuniti (CBT) Peranakan Cina Terengganu di Kampung Fikri, Setiu dan Kampung Tiruk di Marang.
"Kami komited usaha berterusan ini mampu merancakkan lagi industri pelancongan di Terengganu seterusnya menjadikan Peranakan Cina Terengganu sebagai satu tarikan dan warisan yang dapat dipertahankan untuk generasi akan datang," katanya. - DagangNews.com