KUALA LUMPUR 9 Dis - Petra Energy Bhd. memperoleh lanjutan selama setahun daripada Petronas Carigali Sdn. Bhd. untuk penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian luar pesisir (MCM).
Lanjutan itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Petra Resources Sdn Bhd. pada 30 September lalu.
"Nilai kontrak adalah berdasarkan kepada arahan kerja yang dikeluarkan oleh Petronas Carigali sepanjang tempoh lanjutan kontrak berkuat kuasa mulai 20 September 2022 hingga 31 Disember 2023," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Petra Energy memperoleh kontrak perkhidmatan MCM daripada Petronas Carigali di bawah Pakej B (Luar Pesisir) Sabah melalui surat anugerah bertarikh 20 September 2017.
Kontrak itu sah selama lima tahun berkuat kuasa dari 20 September 2017 hingga 19 September 2022 dengan pilihan untuk dilanjutkan selama setahun lagi.
Kumpulan menjangkakan lanjutan kontrak itu tidak memberi kesan kepada modal saham dan pemegangan utama Petra Energy.
"Malah, kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan aset bersih sesaham kepada kumpulan Petra Energy sepanjang tempoh berkenaan," tambahnya. - DagangNews.com