Petronas bekerjasama dengan TM, SD Plantation dalam FutureTech 2.0 | DagangNews Skip to main content

Petronas bekerjasama dengan TM, SD Plantation dalam FutureTech 2.0

 

 

 

KUALA LUMPUR 15 Jun - Petronas melalui sayap modal terokanya, Petronas Ventures bekerjasama dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Sime Darby Plantation Berhad (SD Plantation) dalam edisi kedua program pemecut teknologi, Petronas FutureTech 2.0. 

 

Kerjasama itu yang pertama seumpamanya di Malaysia menyasarkan untuk membuka sinergi merentasi kepakaran pelbagai industri dan memaksimumkan impak nilai program kepada syarikat pemula niaga tempatan. 

 

Tahun ini FutureTech 2.0 bertemakan 'Industry 4.0, Specialty Chemicals and Advance Materials, Future of Energy, Digital Transformation and Retail Innovation' dengan matlamat untuk mengalakkan inovasi dan meningkatkan teknologi buatan tempatan setanding standard antarabangsa.

 

Ketua Petronas Ventures, Arni Laily Anwarrudin berkata, berikutan kejayaan program tersebut pada 2019, pihaknya melihat prospek yang meluas dalam agenda pembangunan negara dan bekerjasama dengan syarikat utama dalam usaha memupuk ekosistem syarikat pemula niaga di Malaysia. 

 

Katanya, Program FutureTech 2.0 ini juga menyokong aspirasi negara untuk memacu syarikat pemula niaga dan membina ekosistem modal teroka di negara ini dengan kerjasama erat program National Technology Innovation Sandbox (NTIS, inisiatif oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

 

"NTIS bertujuan untuk mempercepatkan penciptaan dan penerimaan inovasi tempatan melalui struktur rangka kerja dalam persekitaran yang terkawal ke arah pengkomersialan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi TM, Tengku Muneer Tengku Muzani menyifatkan kerjasama itu sejajar dengan aspirasi TM dalam Digital Malaysia. 

 

"Kami berharap dapat meneroka titik persamaan dengan rakan kerjasama korporat dan syarikat pemula niaga menerusi program ini serta memacu inovasi digital dengan memanfaatkan kekuatan masing-masing," katanya.

 

Ketua Pegawai Strategi dan Inovasi SD Plantation, Dr. Shariman Alwani pula berkata, syarikat berharap dapat mengenal pasti syarikat pemula niaga yang inovatif dan memiliki keupayaan teknologi serta penyelesaian pembaharuan yang boleh membantu syarikat menangani pelbagai cabaran. 

 

"Dari segi daya inovatif ini, kami mungkin memiliki pengalaman dan pengetahuan luas dalam industri minyak sawit tetapi sebarang idea inovasi baharu boleh datang daripada sesiapa sahaja, justeru, kami amat teruja menjadi sebahagian daripada FutureTech 2.0," jelas beliau.

 

Program FutureTech 2.0 berusaha untuk membina kejayaan kumpulan pertama 2 tahun lalu, kali pertama di Malaysia.

 

Petronas Ventures membiayai dua syarikat pemula niaga daripada kumpulan pertama iaitu syarikat robotik dan automasi bagi teknologi pertama, Braintree Technologies Sdn. Bhd dan kelestarian tenaga, SOLS Energy Sdn. Bhd.

 

Permohonan bagi program FutureTech 2.0 dibuka sehingga 27 Julai ini. Syarikat yang disenarai pendek akan melalui program intensif secara maya selama 12 minggu mulai September. - DagangNews.com