KUALA LUMPUR 28 Julai - Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) menyerahkan Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) bagi Blok SK437 kepada Petronas Carigali Sdn. Bhd (PCSB), Sarawak Shell Berhad (SSB), dan Petroleum Sarawak Exploration & Production Sdn. Bhd. (PSEP).
PSEP, adalah anak syarikat milik penuh Petroleum Sarawak Berhad (Petronas).
Blok SK437 terletak di sebelah barat daya wilayah Luconia Tengah, berkeluasan 2.015 kilometer persegi dengan kedalaman air hingga 50 meter.
Kontrak tersebut dijangka dapat meningkatkan aktiviti penerokaan minyak di dalam negara khususnya, di luar pesisir Sarawak.
Majlis penyerahan kontrak tersebut diadakan secara maya hari ini yang dihadiri oleh Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM) Petronas, Mohamed Firouz Asnan; Naib Presiden Penerokaan, Huluan Petronas, Emeliana Rice-Oxley; Pengerusi Shell Malaysia dan Naib Presiden Kanan Huluan Shell Malaysia, Ivan Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petros, Datuk Sauu Kakok.
Dalam kenyataan, Mohamed Firouz menyifatkan selama 130 tahun bertapak di Malaysia, Shell dan rakan-rakan kerjasama lain telah membina tonggak penting yang menyumbang kepada kejayaan industri minyak dan gas negara.
Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama itu bersama dengan PSEP dan PCSB dapat membawa industri ini lebih ke hadapan dengan adanya kekuatan dan keupayaan yang saling melengkapi.
"Lebih penting lagi, kontrak baharu ini akan terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik.
"Kami berharap dengan strategi 'aset dan pemain industri yang tepat', disokong oleh regim fiskal yang progresif dapat meningkatkan sepenuhnya potensi sumber hidrokarbon di Malaysia, sekali gus memaksimumkan nilai kepada rakan kerjasama kami dan Petronas," katanya.
SSB adalah operator bagi PSC Blok SK437 dengan memiliki 85% kepentingan manakala PCSB dan PSEP masing-masing memiliki 7.5%.
Kepentingan bagi PCSB dan PSEP akan bergerak seiring dengan fasa penerokaan tersebut.
Blok SK437 adalah tambahan baharu kepada kepentingan sedia ada Shell dalam 15 PSC di Malaysia, yang mana 8 daripadanya terletak di luar perairan Sarawak manakala 7 lagi di luar perairan Sabah.
Petronas turut mengalu-alukan pelabur yang berpotensi yang melabur di Malaysia mengambil bahagian dalam Pusingan Bidaan Malaysia 2021 (MBR 2021) yang kini sedang berjalan dengan tarikh akhir penyerahan tawaran ditetapkan pada 3 September 2021. - DagangNews.com