Petronas pertama kali perkenal indeks LNG  | DagangNews Skip to main content

Petronas pertama kali perkenal indeks LNG 

 

 

KUALA LUMPUR 7 Mei - Petronas LNG Ltd (PLL) memperkenalkan indeks Canada Alberta Energy Company (AECO) sebagai indeks harga baharu gas asli cecair (LNG) kepada para pelanggannya. 

 

Ini berikutan penjualan spot kargo LNG dari Bintulu kepada pembeli di Timur Jauh bagi penghantaran Ogos 2021.

 

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif PLL, Ezran Mahadzir berkata, sebagai penyedia penyelesaian LNG yang berpusatkan pelanggan, pihaknya terus berusaha menyediakan penyelesaian bersesuaian dalam memenuhi permintaan tenaga pelanggan di samping menawarkan struktur harga yang kompetitif.

 

AECO merujuk kepada harga penanda aras bagi gas asli di Kanada, hampir sama di Henry Hub, Amerika Syarikat, yang mana harga penanda aras gas asli digunakan sebagai indeks kepada harga LNG.

 

Indeks ini adalah telus kerana didagangkan dalam masa sebenar, dengan kecairan tinggi disokong oleh rizab gas yang besar.

 

Pengenalan AECO ini merupakan sebahagian dariapda pelan Petronas untuk memasukkan pilihan tambahan harga kepada para pelanggan dan membolehkan mereka menikmati faedah berkaitan.

 

Dengan AECO, pembeli LNG mempunyai fleksibiliti untuk mempelbagaikan pendedahan harga daripada indeks harga utama yang ditetapkan seperti Japanese Crude Cocktail (JCC), Brent, Japan Korea Marker (JKM), Henry Hub AS dan UK National Balancing Point (NBP).

 

Menurut Petronas, penjualan spot kargo pada harga berkaitan dengan AECO adalah langkah penting untuk mewujudkan indeks harga dalam pasaran LNG. 

 

Ini bukan sahaja melengkapkan kepelbagaian harga Petronas untuk kargo tetapi juga bagi bekalan LNG dari Kanada apabila ia memulakan penghantaran komersial, dijangka pada 2024. 

 

Sumber kargo LNG Petronas datangnya daripada pelbagai portfolio global termasuk Malaysia, Mesir, Australia dan terbaharu, Kanada, justeru, tidak asing lagi untuk menawarkan pelbagai indeks harga LNG yang memenuhi keperluan dan pilihan rakan dagangan. - DagangNews.com