Pgeon sasar 1,000 ejen baharu menerusi inisiatif Pgeon Store menjelang 31 Disember 2022 | DagangNews Skip to main content

Pgeon sasar 1,000 ejen baharu menerusi inisiatif Pgeon Store menjelang 31 Disember 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Mei - Pgeon menyasarkan penyertaan seramai 1,000 ejen baharu Pgeon Store menjelang 31 Disember 2022 bagi membantu mereka terlibat dengan perniagaan penghantaran barangan global yang bernilai lebih AS$100 bilio (RM434.75 bilion).

 

Inisiatif Pgeon Store itu menawarkan peluang kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan dengan menjadikan premis mereka sebagai tempat pengambilan dan penghantaran bungkusan.

 

Dengan menjadi Ejen Pgeon Store, usahawan termasuk daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berpeluang mengembangkan perniagaan e-dagang mereka selain memberi pendedahan terhadap produk mereka  kepada rakyat Malaysia yang menggunakan perkhidmatan itu.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Pgeon, Clarence Leong berkata, banyak perniagaan tempatan serta individu terjejas dari segi kewangan kerana COVID-19 kerana pelbagai sekatan dikenakan sebelum ini dan membuatkan mereka mencari lebih banyak peluang untuk meneruskan kehidupan.

 

"Walaupun esktor ekonomi sudah semakin pulih, pelbagai sumber pendapatan adalah perlu di dalam norma baharu ini dan program Pgeon Store menawarkan perniagaan untuk mereka dengan tawaran modal yang minimun," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

 

Orang ramai yang berminat menjadi ejen Pgeon Store dengan modal serendah RM1,000 dan proses tapisan bakal ejen akan dilaksanakan sepantas seminggu sebelum boleh beroperasi sebagai ejen yang mampu meraih komisen setinggi 50% untuk pebagai perkhidmatan seperti penghantaran bungkusan, tempahan bungkusan serta rujukan ejen dan tambah nilai.

 

pgeon

 

Program Pgeon Store itu menawarkan empat pakej bagi usahawan berminat merangkumi Lite, Standard, Plus serta Caravan dan setiap pakej menawarkan pelaburan berbeza selain kit permulaan perniagaan berbeza merangkumi sepanduk, risalah, kemeja t, pencetak bluetooth dan bahan promosi lain.

 

Clarence berkata, menerusi program itu, pihaknya mahu menyediakan platform yang membolehkan perniagaan serta usahawan daripada semua peringkat untuk menyertai segmen itu.

 

Katanya, program itu juga akan membantu ejen dalam meningkatkan jumlah kehadiran pelanggan di kedai mereka yang mampu meningkatkan prestasi perniagaan utama mereka.

 

"Kami mahu program ini bukan sahaja berfungsi sebagai sumber pendapatan tambahan tetapi untuk terus memanfaatkan ejen-ejen ini dengan menukar premis mereka menjadi tempat penghantaran yang akan menggalakkan pengguna mengunjungi kedai fizikal mereka.

 

"Selain itu, melalui program ini kami akan menyerlahkan premis mereka di platform digital bagi membolehkan mereka mendapat pendedahan pemasaran di dalam talian dan luar talian,” katanya.

 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web https://www.pgeon.delivery/. - DagangNews.com