PH dengan sokongan kleptokrat mungkin jadi kerajaan jika Bersatu berdiam diri - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

PH dengan sokongan kleptokrat mungkin jadi kerajaan jika Bersatu berdiam diri - Muhyiddin

KUALALUMPUR 11 Sept - Pakatan Harapan (PH) dengan sokongan kumpulan kleptokrat berkemungkinan kembali menjadi kerajaan sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menetapkan pendirian dalam pemilihan Perdana Menteri baharu.

 

Presiden Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau boleh memilih untuk berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa selepas meletak jawatan.

 

''Lagipun saya telah berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan kedudukan Kerajaan PN. Tetapi saya masih mempunyai tanggungjawab sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN.

 

”Apa jadi kalau saya dan semua Ahli Parlimen Bersatu tidak mengambil apa-apa pendirian dalam pemilihan Perdana Menteri bahatu dan pembentukan kerajaan selepas itu. Pertama keadaan politik negara akan terumbang ambing kerana suasana pada ketika itu menunjukkan tidak ada sesiapapun yang mendapat majoriti. 

 

''Kedua tegas beliau, PH dengan sokongan kumpulan kleptokrat berkemungkinan kembali menjadi kerajaan dan Bersatu menjadi pembangkang,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun kelima Bersatu yang disiarkan secara langsung melalui Facebook, malam tadi.

 

”Saya berfikiran rasional.Kerana itu saya berbincang dengan ahli-ahli Parlimen Bersatu dan pimpinan parti-parti dalam Perikatan Nasional iaitu Pas, STAR, SAPP dan Gerakan serta pucuk pimpinan parti rakan kita iaitu GPS dan PBS supaya mencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang baharu,” katanya.

 

Dengan itu tegas Muhyiddin Bersatu dan parti-parti komponen PN untuk terus berada dalam kerajaan bagi meneruskan usaha-usaha memulihkan negara sehinggalah tiba suatu masa pilihan raya dapat diadakan dengan selamat dan mandat dikembalikan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

 

Beliau juga menyeru ahli-ahli Bersatu supaya terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri dalam usaha Ismail Sabri dan barisan Jemaah Menterinya untuk menjaga kebajikan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi dan memulihkan negara.

 

Muhyiddin menambah, semua ahli Bersatu perlu melakukan segala persiapan menghadapi PRU-15 dengan menumpukan usaha memperkuatkan parti di akar umbi.

 

“Jangan bersengketa sesama kita. Elakkan perasaan dengki dan irihati. Kukuhkan perpaduan, tingkatkan kerjasama dan lipat gandakan usaha untuk menjadikan Bersatu sebagai parti pilihan rakyat.

 

“Perkukuhkan kerjasama kita dengan parti-parti komponen PN di semua peringkat khususnya di bahagian dan cawangan. Dasar kita ialah kita tidak boleh bersendirian dalam menghadapi pilihan raya.

 

“Kita memerlukan sokongan parti-parti komponen PN dan parti-parti rakan kita yang lain untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan,” jelasnya.

 

Muhyiddin juga mengesahkan bahawa beliau akan bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.

 

“Pada masa itu (PRU-15), PN dan saya sebagai Pengerusinya akan mengambil bahagian dalam pilihan raya.Insya-Allah, dengan izin Allah dan sokongan rakyat, kita akan bangkit semula!” katanya.

 

Beliau meminta semua pemimpin dan ahli Bersatu meneruskan kerja-kerja amal dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan rakyat.

 

“Buktikan budaya politik Bersatu ini berbeza. Politik kita ialah politik khidmat. Politik prihatin. Politik jasa kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Politik kita bukan politik iri hati dan hasad dengki. Bukan politik perkauman yang melampau. Bukan politik adu-domba, tamak haloba dan kemaruk kuasa,” tegasnya.

 

Muhyiddin berkata, Bersatu mesti membuktikan nilai kepimpinannya berteraskan prinsip integriti dan amanah serta tidak boleh berkompromi dengan perbuatan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

 

“Kita tidak mencampuri urusan mahkamah. Kita menghormati prinsip pengasingan kuasa antara badan Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman. Kita juga komited dengan agenda reformasi institusi yang menjamin tatakelola kerajaan yang baik,” ujarnya.

 

Beliau turut mengumumkan penubuhan Akademi Kepimpinan Bersatu yang akan mengadakan siri latihan berteraskan nilai, roh dan semangat perjuangan parti sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan parti.

 

“Akademi ini juga akan memberi tumpuan kepada penerapan semangat kebangsaan berteraskan Islam yang menyantuni masyarakat pelbagai kaum dan agama sebagai ideologi Bersatu,” jelasnya.

 

Muhyiddin menambah, sebagai sebuah parti pribumi, Bersatu akan terus membela nasib orang Melayu dan bumiputera termasuk menjaga kebajikan serta memperbaiki taraf hidup golongan B40 yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan berkenaan.

 

“Perhatian juga akan diberikan kepada usaha mewujudkan lebih banyak peluang penyertaan Melayu dan bumiputera dalam bidang-bidang pertumbuhan ekonomi utama yang berdaya maju.

 

“Dalam konteks ini, agenda Wawasan Kemakmuran Bersama yang bertujuan untuk menangani jurang pendapatan antara kaum, wilayah dan kelas sosial akan terus menjadi keutamaan kita,” jelasnya. - DagangNews.com