Pharmaniaga jalin kerjasama dengan CSPC Pharmaseutical tingkatkan pembangunan biofarmaseutikal | DagangNews Skip to main content

Pharmaniaga jalin kerjasama dengan CSPC Pharmaseutical tingkatkan pembangunan biofarmaseutikal

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Julai - Pharmaniaga Berhad menerusi anak syarikatnya, Pharmaniaga LifeScience Sdn. Bhd., memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan anak syarikat CSPC Pharmaceutical Group Ltd (CSPC), CSPC Holdings Co Ltd bagi meningkatkan pembangunan portfolio biofarmaseutikal CSPC.

 

Pharmaniaga berkata, perjanjian kerjasama itu berdasarkan kepada penyelidikan, pembangunan, pengilangan dan pengkomersialan produk farmaseutikal dan biofarmaseutikal yang inovatif, serta memberi tumpuan kepada vaksin mRNA yang menjurus ke arah memasarkan produk itu di Malaysia dan wilayah yang berkaitan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) Datuk Arham Abdul Rahman berkata, pasukan penyelidikan dan pembangunan Pharmaniaga melihat platform teknologi mRNA CSPC mempunyai potensi yang besar, terutamanya dalam pembangunan vaksin untuk penyakit seperti selesema, virus pernafasan syncytial, zoster, virus Human papillomavirus (HPV) dan denggi.

 

"Kerjasama ini berjanji memacu Malaysia ke arah menjadi negara pengeluar vaksin dalam rantau ASEAN," katanya.

 

Beliau berkata, MOU itu sejajar dengan objektif strategik Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), dan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Nasional (NVDR) dalam memupuk pengeluaran produk farmaseutikal dan biofarmaseutikal bagi mengurangkan kebergantungan kepada import produk itu.

 

Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pharmaniaga, Ahmad Shahredzuan Mohd Shariff berkata, pihaknya sedang meneroka peluang untuk memanfaatkan platform teknologi mRNA CSPC bagi pembangunan vaksin dan CSPC ialah rakan kongsi yang terbukti dan boleh dipercayai dalam usaha ini.

 

"MOU itu mengukuhkan hubungan sedia ada antara Pharmaniaga dan CSPC. Pharmaniaga kini memperoleh Bahan Farmaseutikal Aktif (API) untuk Azithromycin Dihydrate (antibiotik yang digunakan untuk merawat pelbagai jangkitan bakteria) daripada CSPC OUYI," katanya.

 

Kerjasama itu melibatkan pelbagai penerokaan produk farmaseutikal dalam bidang rawatan anti-infeksi, kardiovaskular, neurologi, gastroenterologi, imunologi dan paru-paru.

 

Ia juga merangkumi pengumpulan data pasaran untuk menilai daya maju komersial produk farmaseutikal inovatif CSPC dalam sektor terapeutik utama seperti anti-tumor, kardiovaskular dan neurologi.- DagangNews.com