Pharmaniaga memasuki pasaran Myanmar, buka lebih banyak peluang - MIDF | DagangNews Skip to main content

Pharmaniaga memasuki pasaran Myanmar, buka lebih banyak peluang - MIDF

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 16 Nov - Kejayaan Pharmaniaga Bhd. mengedarkan vaksin Sinovac secara 'fill and finish' ke Myanmar dilihat sejajar dengan strategi kumpulan untuk mengembangkan perniagaan vaksin merentasi sektor tempatan. 

 

Malah, menurut MIDF Research, ia bukan sahaja dapat meningkatkan vaksinasi tetapi juga secara tidak langsung dapat membantu mengekang kadar jangkitan COVID-19 di rantau Asia Tenggara merebak dengan lebih cepat berbanding jangkaan.

 

Ini berikutan penyertaan Pharmaniaga yang memasuki pasaran vaksin antarabangsa buat julung kali dengan mengeksport kumpulan pertama vaksin Sinovac ke Myanmar pada Sabtu lalu.

 

Vaksin itu dikilangkan oleh anak syarikat milik penuhnya, Pharmaniaga LifeScience Sdn. Bhd. (PLS) secara 'fill and finish'.

 

Di Myanmar pula, vaksin COVID-19 Sinovac akan dipasarkan oleh Hemas Mandalar Pharmaceuticals Ltd (Hemas Mandalar), sebuah syarikat farmaseutikal yang berpangkalan di Myanmar, yang membuat tempahan awal sebanyak 200,000 dos vaksin COVID-19 Sinovac daripada Pharmaniaga.

 

"Kami percaya dengan inisiatif baharu ini, perniagaan vaksin kumpulan secara 'fill and finish' akan semakin berkembang menjangkaui daripada sektor tempatan sahaja," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Semalam, Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, kerjasama dengan Hemas Mandalar akan membantu mempercepatkan program vaksinasi pasaran swasta di Myanmar.

 

Pengeksportan vaksin Sinovac COVID-19 memberi keyakinan kepada Pharmaniaga untuk menerokai peluang serupa di negara jiran Asia Tenggara lain dan juga negara Afrika.

 

Ini kerana menurutnya, dunia menyanjung tinggi Malaysia yang mempunyai rekod prestasi cemerlang dalam menguruskan program vaksinasinya, selepas mencapai lebih 90% kadar vaksinasi penduduk dewasanya lebih awal daripada jadual.

 

MIDF Research berkata, ketika rantau Asia Tenggara bergelut dengan varian Delta tahun ini, negara-negara lain seperti Singapura dan Malaysia meningkatkan kadar vaksinasi bagi mengekang penularan wabak ini. 

 

"Pada masa sama, Myanmar merupakan salah satu negara yang menyaksikan kadar jangkitan tinggi dengan kadar vaksinasi pula rendah sekitar 15% daripada jumlah populasi. 

 

"Sebaliknya, Malaysia telah mencapai 77% vaksinasi penuh daripada jumlah populasi, dan berupaya mengurangkan impak daripada lonjakan kes jangkitan," katanya.

 

Melihat kepada perkembangan positif daripada inisiatif tersebut, MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Pharmaniaga dengan harga sasaran tidak berubah pada 98 sen. 

 

Jelasnya, Pharmaniaga sentiasa berusaha keras untuk memastikan kumpulan dapat menembusi had logistik untuk vaksin 'fill and finish'. 

 

"Di samping menyediakan suntikan penggalak untuk program imunisasi kebangsaan, Pharmaniaga turut membuka jalan untuk meningkatkan imunisasi di rantau ini bagi memerangi penyebaran wabak itu, dan mengurangkan kemasukan ke hospital dan kadar kematian. 

 

"Beserta strategi kumpulan untuk menyediakan akses kepada farmaseutikal dan meningkatkan kapasiti dan keupayaannya, prospek jangka panjang Pharmaniaga kekal positif," tambahnya. 

 

Setakat 9.25 pagi ini, saham Pharmaniaga menokok 1.5 sen atau 1.86% kepada 82 sen dengan 1.27 juta saham diniagakan. - DagangNews.com