KUALA LUMPUR 4 Mac – PIJ Holdings Sdn Bhd, melalui anak syarikatnya PIJ Property Development Sdn Bhd, membuat laporan polis terhadap Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang didakwanya menceroboh dan menggunakan tanpa kebenaran aset Inkubator Usahawannya di Taman Perbadanan Islam di Stulang Baru di sini.
PIJ Holdings, sebuah syarikat milik kerajaan negeri Johor, berkata premis itu dibangunkan untuk usahawan menceburi bidang perniagaan dan bukan sebagai pusat operasi mana-mana parti politik.
Berdasarkan rekod terkini, premis itu digunakan oleh individu untuk menjalankan perniagaan perabot dan orang itu tidak dibenarkan menyewakannya kepada sesiapa, katanya.
“Kami kesal kerana premis itu bukan sahaja tidak boleh digunakan untuk tujuan keusahawanan tetapi lebih mengecewakan ialah penggunaan aset ini adalah tanpa pengetahuan, perkenan dan persetujuan antara PIJ Property dan Muda,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Justeru, PIJ Holdings meminta Muda mengosongkan segera dan mengembalikan premis itu kepada keadaan asal dan sepatutnya bagi memastikan kemudahan itu dapat digunakan sepenuhnya oleh usahawan di Johor Bahru.
PIJ Holdings berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera secara harmoni.
Sementara itu, calon MUDA bagi kerusi Larkin pada pilihan raya negeri Johor, Rasid Abu Bakar, menafikan parti itu melakukan pencerobohan.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata MUDA telah menyewa premis itu sejak 26 Feb dengan bayaran RM4,000 sebulan daripada pemilik kedai, yang mengeluarkan surat membenarkan parti itu menggunakannya sebagai bilik gerakannya di Larkin.
“Kami telah beroperasi selama seminggu dan tidak pernah menerima sebarang notis, aduan atau surat daripada pemilik kedai atau mana-mana pihak lain yang menyatakan kami menceroboh premis itu.
"Dalam tempoh seminggu ini, kami telah dilawati oleh polis, Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Pilihan Raya dan tiada sebarang masalah," katanya. – DagangNews.com