Pikas: 2 juta pekerja sektor pembuatan capai imuniti kelompok September nanti | DagangNews Skip to main content

Pikas: 2 juta pekerja sektor pembuatan capai imuniti kelompok September nanti

Pikas: 2 juta pekerja sektor pembuatan capai imuniti kelompok September nanti

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Jun - Kira-kira dua juta pekerja dalam sektor pembuatan negara disasarkan akan mencapai imuniti kelompok atau herd immunity selewat-lewatnya September nanti melalui Program Imunisasi Industri COVID-19 Kejasama Awam-Swasta (Pikas).

 

Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara tersebut turut bergantung kepada bekalan vaksin termasuk tenaga kerja yang ditempatkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terlibat.

 

"Untuk merealisasikan perkara ini, ianya juga bergantung kepada bekalan vaksin termasuk tenaga kerja dari segi bilangan doktor dan pasukan kesihatan yang ditempat di PPV Pikas.

 

"MOSTI dan KKM juga telah memberi jaminan kita akan menerima lebih banyak dos vaksin pada Ogos nanti. 
Justeru, kepada industri yang belum berdaftar dengan Pikas, saya menyeru agar segera berbuat demikian bagi mencapai tahap imuniti kelompok negara. 

 

"Jika cepat kita laksanakan, cepat juga kita akan kembali kepada kehidupan biasa, namun tetap dengan norma baharu," jelasnya dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.

 

Pikas diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) khusus kepada pekerja di bawah sektor pembuatan, bermula 16 Jun lalu. 

 

Program berkenaan dilaksanakan sebagai langkah responsif kepada cadangan dari persatuan industri, dewan perniagaan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk membantu mempercepatkan vaksinasi.

 

Mengulas persoalan berkaitan sektor pembuatan yang dibenarkan beroperasi, beliau memberitahu, sektor berkenaan dibuka kerana tergolong dalam rantaian bekalan produk dan perkhidmatan yang perlu.

 

"Saya faham, mungkin ada yang menyoal kenapa sesetengah sektor itu dibenarkan beroperasi sedangkan sekarang negara di bawah perintah ‘total lockdown’. 

 

"Keputusan membenarkan sektor pembuatan dibuka kerana ianya adalah sebahagian daripada rantaian bekalan produk dan perkhidmatan yang perlu termasuk untuk menyokong kelancaran fungsi infrastruktur seperti penjagaan kesihatan awam.

 

"Namun begitu, bagi syarikat-syarikat yang beroperasi tanpa kelulusan MITI, pihak kami tidak teragak-agak untuk memberi kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan," jelas beliau lagi. - DagangNews.com