Pikas dilancarkan di Selangor hari ini | DagangNews Skip to main content

Pikas dilancarkan di Selangor hari ini

Pikas. Kredit gambar MITI

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Jun - Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) COVID-19 yang diumumkan pada 12 Jun baru-baru ini akan dilancarkan di Selangor hari ini.

 

Pelancaran tersebut bakal disaksikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

 

MITI dalam satu kenyataan berkata, selain Selangor, vaksinasi untuk sektor pembuatan juga akan dimulakan di Pulau Pinang dan Johor secara serentak yang akan memberi tumpuan kepada subsektor pembuatan yang kritikal.

 

.

 

Jelas MITI, meskipun Pikas dilaksanakan, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk golongan paling rentan tetap akan menjadi keutamaan.

 

Mohamed Azmin dalam satu sidang video bersama wakil kesatuan sekerja semalam turut memberi penjelasan berhubung kos tambahan di bawah Pikas yang menjadi kebimbangan kesatuan sekerja. 

 

.

 

Beliau memberi jaminan bahawa pekerja yang menyertai program berkenaan tidak akan dibebani dengan kos tambahan.

 

"Vaksin akan diberi secara percuma dan majikan perlu menanggung kos pentadbiran proses vaksinasi dan tidak dibenarkan untuk memotong gaji pekerja bagi membiayai kos yang terlibat," jelas beliau.

 

.

 

Program Pikas dilaksanakan sebagai langkah responsif kepada cadangan dari persatuan industri, dewan perniagaan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk membantu mempercepat vaksinasi bagi rakyat khususnya pekerja, untuk mencapai imuniti kelompok dalam kalangan masyarakat.

 

Langkah berkenaan adalah amat penting dalam melindungi pekerja daripada risiko jangkitan COVID-19 yang dapat memastikan ekonomi kembali cerdas dan terus berdaya tahan.

 

Mohamed Azmin turut menggesa majikan untuk memberi galakan kepada para pekerja bagi menyertai program berkenaan. - DagangNews.com