Pikom gesa kerajaan kecualikan dasar kabotaj bagi pemasangan kabe bawah laut | DagangNews Skip to main content

Pikom gesa kerajaan kecualikan dasar kabotaj bagi pemasangan kabe bawah laut

KUALA LUMPUR 24 April - Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) menggesa kerajaan supaya mengecualikan dasar kabotaj bagi pemasangan dan pembaikan kabel bawah laut.

 

Pengerusi, Danny Lee berkata wujud kebimbangan bahawa dasar kabotaj, yang mengekang kapal-kapal asing daripada kerja-kerja berkaitan pemasangan dan pembaikan kabel bawah laut, akan membawa kesan buruk terhadap pelaburan teknologi.

 

“Kita telah mula menyaksikan beberapa syarikat teknologi multinasional telah menyebabkan Malaysia mengalami kerugian, malah syarikat lain yang berada di sini juga berpindah ke negara lain,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat, lapor Bernama.

 

Beliau menjelaskan kabel bawah laut merupakan tulang belakang Internet global dan berperanan penting dalam ekonomi Malaysia.

 

“Pengecualian kabotaj adalah langkah penting untuk memastikan pembaikan kerosakan kabel bawah laut dapat dilaksanakan dengan cepat justeru, mengekalkan kestabilan, kepantasan dan kos yang wajar bagi Internet,” katanya.

 

Lee berkata akses kepada Internet menjadi lebih penting khususnya semasa tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Malaysia rugi besar Facebook pilih negara jiran pasang kabel internet

 

Keputusan Facebook tiada kaitan dengan dasar kabotaj Malaysia, kata Wee Ka Siong

 

Beliau berkata ini memandangkan rakyat Malaysia bergantung kepada akses yang ditawarkan pada harga berpatutan dan boleh dipercayai untuk bekerja, meneruskan sesi pembelajaran, berhubung dengan rakan dan ahli keluarga di samping mendapatkan barangan dan perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan.

 

pikom
Danny Lee

 

“Sekarang adalah tempoh yang buruk jika ingin merisikokan akses ini dengan menjadikannya lebih sukar bagi penyedia perkhidmatan Internet Malaysia untuk membaiki infrastruktur Internet penting,” katanya.

 

Beliau berkata dasar kabotaj semasa tidak sejajar dengan aspirasi digital negara sebaliknya ia akan menghalang kemajuan tersebut.

 

Mengenai isu keselamatan data, beliau berkata peningkatan kesediaan keselamatan siber di sepanjang rantaian termasuk peranti akhir dan rangkaian bertujuan memastikan keselamatan menyeluruh tersulit akan menjadi penyelesaian yang tepat.

 

Menurut Datareportal, terdapat 27.43 juta pengguna Internet di Malaysia pada Januari 2021 iaitu peningkatan 2.8 peratus daripada angka pada 2020. Kadar penembusan Internet di negara ini pula adalah 84.2 peratus pada Januari tahun ini. - DagangNews.com