IPOH 2 Sept - Pincer MBI Studio di bawah kendalian Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) disasarkan menjadi hab industri kreatif digital utama negara dan sekali gus menarik pasaran antarabangsa.
Ini juga selaras dengan matlamat untuk meletakkan Ipoh sebagai bandar raya kreatif selain memacu ekonomi digital sebagai pendapatan baharu.
Menerusi perancangan dalam tempoh lima tahun pula, ia bakal membawa nilai pelaburan sebanyak RM30 juta melalui pelbagai penglibatan.
Sekiranya segala perancangan yang disusun dapat dijayakan, maka tidak mustahil Ipoh akan menjadi lokasi industri filem terkenal seperti Mumbai, India.
Ketika ini terdapat tiga studio perfileman digital selain Pincer MBI Studio iaitu Iskandar Malaysia Studios di Johor, di Cyberjaya dan Studio Perfileman FINAS.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, industri kreatif boleh membawa pelaburan besar misalnya apabila sesebuah syarikat penerbitan datang ke sini membuat penggambaran.
Menurut beliau yang juga Pengerusi Pincer MBI Studio, untuk itu beberapa strategi telah diatur terutamanya melengkap infrastruktur terkini bagi keperluan industri tersebut.
"Kita di Ipoh akan fokus kepada bandar pelancongan, kreatif dan seni. Ia baru digerakkan pada Januari lalu.
"Pada pandangan saya Ipoh akan jadi seperti Mumbai (Bollywood) atau Shanghai.
"Kita akan bergerak ke arah itu. Untuk ekonomi budaya Ipoh akan menjuarai pada peringkat negara, tidak mustahil kalau betul-betul usaha kita boleh pergi hingga Asia Tenggara," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai Majlis Menghargai Jasa Hero-Hero Malaysia dan Tayangan Filem Juang di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pincer MBI Studio, Kah Fee Yee dan Pengarah Eksekutif Pincer MBI Studio yang juga salah seorang penerbit filem Juang, Allyan Too.
Tayangan perdana yang akan diadakan pada 5 September itu akan dihadiri wakil Ketua Pengarah Kesihatan selain petugas-petugas barisan hadapan.
Juang merupakan sebuah filem memaparkan perit getir yang diinspirasikan sepanjang dua tahun negara berdepan pandemik yang meninggalkan kesan mendalam.
Sementara itu Yee Fee memberitahu, dalam masa terdekat pihaknya sedang merancang membawa projek penggambaran filem dari sebuah produksi Hong Kong.
"Kita biasa dengan pembuat filem dari China dan Hong Kong, malah beberapa projek filem negara berkenaan pernah memilih Perak khususnya Ipoh sebagai lokasi penggambaran.
"Atas sebab itu kita yakin pada potensi sedia ada Ipoh menerusi Pincer MBI Studio untuk memajukan lagi industri seni kreatif di sini," ujarnya. - DagangNews.com