Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan MA63 dapat kelulusan sebulat suara - PM | DagangNews Skip to main content

Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan MA63 dapat kelulusan sebulat suara - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Dis - Usul untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mendapat kelulusan sebulat suara daripada penyokong kerajaan dan pembangkang yang hadir dalam Dewan Rakyat.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelulusan pindaan itu mencatat satu sejarah baharu dan beliau berharap, Keluarga Malaysia di Sabah serta Sarawak dapat merasai semua manfaat dan kebaikannya.

 

"Dengan izin Allah SWT, usul pindaan Perlembagaan berkenaan definisi negeri dalam Persekutuan membabitkan Sabah dan Sarawak berkaitan MA63 sudah mendapat kelulusan penyokong kerajaan dan pembangkang yang hadir di Dewan Rakyat.

 

"Sekalung tahniah dan penghargaan kepada Ahli Dewan Rakyat yang menyatakan sokongan terhadap usul ini," katanya menerusi Facebook rasminya hari ini.

 

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan MA63 bagi memberi pengiktirafan kepada tuntutan dan status istimewa Sabah serta Sarawak apabila membentuk Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

Pindaan itu diluluskan selepas melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 200 Ahli Parlimen menyokong, manakala 20 orang tidak hadir bagi bacaan kali kedua dan mendapat sokongan 199 Ahli Parlimen dengan 21 orang tidak hadir pada undi belah bahagian untuk bacaan kali ketiga.

 

pmlagi

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pindaan itu akan menyaksikan MA63 diletakkan setaraf Perjanjian Persekutuan 1948 dan Perjanjian Persekutuan 1957.

 

Beliau berkata, dengan mengiktiraf MA63 dalam Perlembagaan Persekutuan, kerajaan kini boleh merujuk kepada semua janji yang dibuat pada 1963 secara terperinci dan dinyatakan dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), yang juga kajian mendalam Laporan Suruhanjaya Cobbold mengenai tuntutan Sabah dan Sarawak. - DagangNews.com