Pinjaman akan terus meningkat di sebalik kenaikan OPR, kata penganalisis | DagangNews Skip to main content

Pinjaman akan terus meningkat di sebalik kenaikan OPR, kata penganalisis

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Sept - Firma-firma penyelidikan mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan berikutan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) buat kali ketiga tahun ini menjadikannya kepada 2.5% akan terus memberi kelebihan kepada sektor berkenaan.

 

Penganalisis CGS-CIMB Research, Winson Ng berkata, unjuran pertumbuhan pembiayaan yang disasarkannya antara 5 hingga 6% tahun ini (antara pertumbuhan organik paling kukuh sejak 2016) mampu dicapai meskipun OPR setakat ini sudah dinaikkan 75 mata asas. 

 

Katanya, secara teori, kenaikan OPR akan memberi kesan negatif kepada pertumbuhan pinjaman bank kerana ini akan meningkatkan bayaran balik pinjaman bulanan untuk peminjam, dan seterusnya mengurangkan kemampuan untuk membuat pinjaman.

 

"Tetapi pandangan kami adalah berdasarkan kepada pertumbuhan pinjaman yang kukuh sebanyak 5.9% tahun ke tahun pada akhir Julai 2022 dan pengembangan pantas hampir 80% tahun ke tahun untuk kedua-dua permohonan pinjaman dan kelulusan bagi tempoh itu," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Sehubungan itu, firma itu mengulangi pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan memandangkan bank akan terus mendapat manfaat daripada kenaikan OPR.

 

Ini kerana menurut Ng, pinjaman kadar terapung bank adalah lebih besar daripada deposit tetap (kedua-duanya dinaikkan harga semasa kenaikan OPR).

 

"Analisis kami menunjukkan kenaikan ini akan memberi impak positif paling besar terhadap Bank Islam Malaysia Bhd. kerana nisbah pinjaman kadar terapungnya sebanyak 91% pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) adalah yang tertinggi dalam sektor ini.

 

"Sebaliknya, kenaikan OPR hanya memberi impak kecil terhadap keuntungan bersih Affin Bank Bhd. bagi FY23 kerana nisbah pinjaman kadar terapungnya pada 74.1% bagi FY 23 adalah yang terendah," jelasnya.

 

Baca : Seperti dijangka, BNM naikkan lagi OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.5%

 

Semalam, BNM menepati jangkaan penganalisis apabila memutuskan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.5% dalam Mesyuarat Jawatankuasa Monetari (MPC). 

 

Kenaikan kali ketiga secara berturut-turut itu daripada paras terendah 1.75% menyaksikan kadar tertinggi dan terendah koridor OPR juga meningkat masing-masing kepada 2.75% dan 2.25%.

 

BNM menyifatkan pada kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

 

Sementara itu, penganalisis Kenanga Research, Clement Chua berkata, sektor perbankan akan terus berdaya tahan terutamanya dalam persekitaran kitaran naik kadar faedah, kerana kekal disokong aktiviti ekonomi.

 

Dengan mengekalkan pandangan 'overweight', menurutnya, dalam tempoh terdekat, bank-bank dijangka menunjukkan peningkatan pendapatan daripada normalisasi peruntukan kos kredit selepas COVID-19 dan seterusnya memulihkan keuntungan.

 

"Tambahan pula, pelupusan Cukai Makmur pada tahun akan datang boleh memberikan peningkatan yang bermakna kepada pendapatan dan mungkin pulangan pemegang saham," katanya.

 

Sebaliknya, beliau berkata, sentimen pasaran masih menunjukkan tanda-tanda kelembapan kerana kebimbangan yang disebabkan oleh kemelesetan masih timbul daripada makro global, dengan sekatan terhadap COVID-19 yang berulang di China tidak memberi keyakinan.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan saranan kami untuk memihak kepada bank yang boleh memberikan penampan dividen yang kukuh dalam jangka terdekat hingga sederhana," tambahnya. - DagangNews.com