PKIBM harap diberi keutamaan dapat dana bumiputera RM4.6 bilion | DagangNews Skip to main content

PKIBM harap diberi keutamaan dapat dana bumiputera RM4.6 bilion

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 9 Nov. - Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera (PKIBM) berharap kesemua ahli persatuan memperoleh akses lebih mudah kepada beberapa inisiatif khas melibatkan dana Pemerkasaan Usahawan Bumiputera sebanyak RM4.6 bilion seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021.

Ini termasuklah pembiayaan RM510 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro bumiputera melalui Tekun Nasional dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) serta RM800 juta melalui program peningkatan keupayaan oleh Bank Pembangunan Malaysia dan SME Bank.

Selain itu, kerajaan juga menyediakan bantuan RM2 bilion bagi membantu pembiayaan PKS bumiputera melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan RM1.3 bilion untuk pelbagai program peningkatan kapasiti termasuk pembangunan profesional, Dana Kemakmuran Bumiputera serta program atau projek khusus untuk bumiputera.

Amir Hamzah Md. Isa
Amir Hamzah Md. Isa
 

Menurut PKIBM, Amir Hamzah Md. Isa, sebagai usahawan pendidikan bumiputera yang selama ini tidak bergantung kepada dana kerajaan sama ada modal pembangunan mahupun perbelanjaan mengurus, pihaknya berharap mereka diberi keutamaan untuk mendapat akses kepada pembiayaan berkenaan. 

"Kami secara dasarnya, menyambut baik dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan pendidikan tinggi negara khususnya ekosistem institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS). 

"Sektor pendidikan tinggi swasta telah diakui sebagai industri strategik negara kerana menyumbang RM31.5 bilion kepada pendapatan dan ekonomi negara. 

"Dalam hal ini, PKIBM komited akan terus memainkan peranan strategik yang berkesan dan signifikan dalam melahirkan graduan berkualiti sekali gus membantu KPT memacu kecemerlangan pendidikan tinggi khususnya agenda pendidikan bumiputera," katanya dalam kenyataan hari ini.
 
PKIBM menaungi 46 IPTS bertaraf kolej, kolej universiti dan universiti yang dimiliki dan diuruskan sepenuhnya oleh usahawan pendidikan bumiputera di seluruh negara.

Menurut Amir Hamzah, melalui Pemerkasaan Bumiputera, sejumlah RM6.5 bilion diperuntukkan untuk menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada institusi bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), PKIBM memohon inisiatif dan pelaksanaannya akan melibatkan kesemua 46 IPTS PKIBM.

"Dengan peruntukan ini, PKIBM juga mengulangi permohonan supaya Mara kembali menyediakan kemudahan pinjaman pelajaran kepada pelajar yang mengikuti program-program kritikal peringkat diploma di IPTS ahli PKIBM," katanya.  

Dalam masa sama, katanya, PKIBM juga menaruh harapan yang tinggi kepada kerajaan untuk menyediakan geran RM500,000 hingga RM1 juta bagi setiap IPTS bumiputera bagi meningkatkan kapasiti internet dan komunikasi di kampus dan pusat pembelajaran. 

"Selain itu, kami juga memohon kerajaan supaya dapat mengembalikan semula kadar asal pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar peringkat diploma iaitu RM4,000 untuk satu semester. 

"Malah, PTPTN dimohon menyegerakan insentif wang pendahuluan kepada pelajar IPTS yang ketika ini hanya dinikmati oleh pelajar di IPTA. Ini dapat membantu ibu bapa pelajar yang terjejas akibat COVID-19," katanya. - DagangNews.com