PKP 2.0 : Bank sedia lanjutan bayaran semula | DagangNews Skip to main content

PKP 2.0 : Bank sedia lanjutan bayaran semula

 

 

 

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Institusi perbankan akan melanjutkan bantuan bayaran semula termasuk moratorium sedia ada kepada mereka yang terjejas dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika ini. 

 

Malah, bank-bank juga telah mengumumkan lanjutan bantuan bayaran semula kepada mangsa banjir di beberapa negeri yang terjejas.  

 

Menerusi kenyataan bersama, Persatuan Bank-bank di Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) juga meminta para pelanggan yang terjejas supaya menghubungi bank masing-masing untuk memohon bantuan bayaran semula bersasar ini. 

 

"Lanjutan ini terpakai untuk semua skim bantuan bayaran semula bersasar yang diumumkan sebelum ini. 

 

"Bagi mereka yang hilang pekerjaan pada 2020 atau 2021, boleh memohon bantuan bayaran ini bagi tempoh 3 bulan atau sebelum 30 Jun 2021," katanya dalam kenyataan. 

 

Setakat 31 Disember 2020, lebih 1.3 juta permohonan bagi bantuan pinjaman semula telah diterima dengan kadar kelulusan sehingga 95%.

 

Mereka yang mendapatkan bantuan ini juga tidak akan direkodkan dalam  laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS). 

 

Pengerusi ABM yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, bank akan kekal komited bagi membantu para pelanggan ketika menghadapi cabaran dalam persekitaran semasa ini. 

 

"Kami berupaya menyesuaikan skim bantuan kewangan ini dengan keadaan yang dihadapi peminjam supaya mereka dapat mengukuhkan kewangan dengan cepat dan memberi fokus kepada kehidupan yang mungkin lebih memerlukan," katanya. 

 

Sementara itu, Presiden AIBIM, Datuk Adisadikin Ali berkata, komunikasi antara pelanggan dan bank mesti diteruskan bagi memastikan manfaat kedua-dua pihak. 

 

"Bantuan bayaran ini masih tersedia untuk mereka yang terjejas," katanya. - DagangNews.com