Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 12 Jan. - Ringgit terus menyusut dalam dagangan pagi ini, dibuka rendah pada RM4.0530/0600 berbanding dolar AS susulan pengumuman kerajaan yang melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan (PKP).
Mata wang itu semalam ditutup pada RM4.0480/0530 berbanding dolar AS.
Dalam taklimat khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang semalam berkata, PKP akan dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Melaka, Johor dan Sabah mulai tengah malam 13 hingga 26 Januari yang mana pergerakan antara daerah adalah dilarang.
Sementara itu, PKP Bersyarat (PKPB) akan dikuatkuasakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan juga bagi tempoh yang sama manakala Perlis dan Sarawak akan menjalani PKP Pemulihan (PKPP).
Menurut AmBank Research, dalam penutupan semalam, ringgit menyusut 0.59% memandangkan pasaran tertumpu kepada pengumuman Perdana Menteri.
"Ini turut menyaksikan indeks utama FBM KLCI juga merosot 0.98% kepada 1,617 mata di sebalik pembelian asing berjumlah RM87.9 juta," katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma penyelidikan itu menjangkakan ringgit akan diniagakan hari ini pada paras sokongan antara RM4.0157 dan RM4.0296 manakala paras rintangan pada RM4.0724 dan RM4.0898.
Dolar AS pula menokok 0.41% kepada 90.465, tertinggi sejak 22 Disember 2020, didorong prospek pertumbuhan daripada rangsangan fiskal AS yang lebih tinggi.
Sementara itu, HLIB Researh berkata, dolar AS dijangka terus mengukuh digerakkan oleh keyakinan terhadap kemenangan Demokrat dan pelantikan Presiden AS, Joe Biden pada minggu hadapan. - DagangNews.com