PKP 3.0 : Efektif tetapi menyakitkan | DagangNews Skip to main content

PKP 3.0 : Efektif tetapi menyakitkan

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Mei - Keputusan kerajaan 'mengembalikan' semula perintah kawalan pergerakan (PKP) secara menyeluruh dianggap tindakan mengejutkan meskipun ia mampu mengawal penularan wabak COVID-19. 

 

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan PKP hanya akan dilaksanakan secara bersasar bagi mengurangkan impak ke atas ekonomi. 

 

Namun, pengumuman terbaharu semalam menyaksikan langkah itu berkuat kuasa semula mulai 12 Mei hingga 7 Jun ini di seluruh negara.

 

Penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng Lee Fang berkata, terdapat keperluan bagi kerajaan untuk memperluaskan bentuk sokongan ekonomi sekiranya PKP 3.0 ini berlanjutan lebih dari tempoh berkenaan di sebalik ruang fiskal yang semakin terhad.

 

"Ini kerana kebanyakan langkah yang diumumkan kerajaan di bawah pakej rangsangan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) seperti subsidi upah dan bantuan tunai akan berakhir selepas Jun," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pemerkasa diumumkan Mac lalu bernilai RM20 bilion adalah program tambahan pemulihan ekonomi terkini kerajaan selepas melaksanakan 5 pakej rangsangan bernilai lebih RM600 bilion termasuk Belanjawan 2021 yang diumumkan tahun lalu.

 

Ia memperlihatkan usaha berterusan kerajaan memacu pertumbuhan ekonomi negara sejajar dengan strategi pemulihan ekonomi negara bagi menangani pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi.

 

Sebelum itu, sejajar dengan pelaksanaan PKP 2.0. kerajaan melaksanakan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion melibatkan 22 insiatif dengan 3 matlamat, iaitu memerangi pandemik COVID-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

 

Tahun lalu, 4 pakej bantuan diumumkan kerajaan iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan KitaPrihatin.

 

Menurut Lee Fang, PKP 3.0 kali ini menyaksikan unjuran kerugian harian kepada ekonomi dijangka meningkat kepada RM300 juta sehari berbanding RM200 juta secara bersasar sebelum ini.

 

Unjuran ini dibuat berdasarkan anggaran asas RM150 juta sehari bagi pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

 

"Kami menjangkakan pelaksanaan PKP setiap bulan akan menghakis 0.3% daripada unjuran pertumbuhan tahunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang kami anggarkan berkembang 5.7% tahun ini. 

 

"Dasar monetari juga dijangka kekal berhati-hati, dengan kadar dasar semalaman (OPR) kekal pada tahap 1.75% sehingga akhir tahun ini," jelasnya. 

 

Firma itu bagaimanapun mengakui penguatkuasa PKP 3.0 secara menyeluruh dapat membantu mengekang wabak COVID-19 terutama dengan kedatangan sambutan Hari Raya Aidilfitri, 13 Mei ini

 

Tetapi, langkah itu menyakitkan buat beberapa sektor yang selama ini telah pun terjejas, tegasnya. 

 

Ia adalah negatif kepada sektor berkaitan pengguna, pelancongan (hotel, syarikat penerbangan, lapangan terbang dan kasino), REIT, automatif, penjagaan kesihatan dan hartanah memandangkan PKP 3.0 mengakibatkan perbelanjaan pengguna semakin terbatas.

 

"Malah, ini boleh menjejaskan sentimen jangka pendek dan mendorong pelabur mengambil untung ke atas saham-saham berkaitan pemulihan (seperti perbankan, automatif, hartanah, pembinaan pelancongan) yang selama ini menunjukkan prestasi baik, ekoran kebimnbangan terhadap risiko pendapatan jangka pendek dan beralih kepada saham-saham berdaya tahan (seperti utiliti, telekomunikasi dan sarung tangan getah)," katanya. 

 

Dalam masa sama, tambahnya, pemain REIT yang mempunyai portfolio perhotelan dan pusat beli-belah (KLCCP, IGB Reit, CMMT, Pavilion Reit, Sunway Reit) dan juga Genting Malaysia serta Genting akan terjejas berikutan larangan perjalanan dan maksimum 3 orang di dalam kenderaan. 

 

"Bagi sektor hartanah, automatif, hospital, syarikat penerbangan dan lapangan terbang juga akan terkesan kerana pengguna menangguhkan perbelanjaan dalam tempoh terdekat dan prospek ekonomi yang tidak menentu. 

 

"Bagaimanapun, risiko pendapatan dijangka lebih rendah berbanding PKP 1.0 memandangkan lebih banyak sektor ekonomi dibenarkan beroperasi ketika PKP 3.0," tambah firma itu. 
 

Susulan pengumuman PKP 3.0 menyeluruh malam tadi, pasaran pagi ini susut 3.52 mata kepada 1,580.4 mata manakala ringgit dibuka rendah pada RM4.1100/1160 berbanding dolar AS, daripada penutupan semalam, RM4.1050/1100. - DagangNews.com