PKP 3.0 : Sektor ekonomi boleh beroperasi | DagangNews Skip to main content

PKP 3.0 : Sektor ekonomi boleh beroperasi

 

 

KUALA LUMPUR 5 Mei - Kerajaan bersetuju untuk membenarkan semua sektor ekonomi termasuk sektor perkilangan terus beroperasi di enam daerah di Selangor yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. 

 

Bagaimanapun, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ia terkecuali bagi aktiviti-aktiviti tertentu yang disenaraikan di bawah senarai negatif Prosedur Operasi Standard (SOP) Am PKP 3.0.

 

Senarai itu adalah berdasarkan SOP PKP sedia ada, kecuali aktiviti dine-in adalah tidak dibenarkan di restoran. SOP ini juga boleh diakses di laman web MKN, www.mkn.gov.my. 

 

"Syarikat perlu mematuhi SOP Am PKP 3.0 dan tertakluk kepada tatacara Bekerja Dari Rumah (BDR) sedia ada iaitu hanya 30% kakitangan pengurusan boleh hadir ke pejabat seperti biasa tanpa sekatan waktu bekerja
manakala kehadiran pekerja operasi atau sokongan ditentukan oleh majikan mengikut budi bicara," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

MITI menyeru agar pihak industri terus bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan kejayaan mengawal pandemik COVID-19. 

 

Aktiviti penguatkuasaan akan dipertingkatkan oleh agensi penguatkuasa berdasarkan penilaian Sistem Amaran Awal Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) yang mampu mengesan lokasi yang berisiko tinggi yang menjadi punca kepada penularan wabak ini. 

 

Menurutnya, langkah ini adalah lebih bersasar dan efektif untuk mencegah penularan wabak COVID-19 dalam komuniti berbanding langkah penutupan secara keseluruhan. 

 

"Mana-mana syarikat yang didapati tidak mematuhi SOP akan dikenakan tindakan perundangan termasuk penutupan operasi syarikat untuk tempoh tertentu," tegasnya.

 

Selain itu, semua Agensi Kerajaan Negeri termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran untuk mengambil langkah proaktif dan bersama-sama berganding bahu dengan Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan aktiviti penguatkuasaan bagi keselamatan bersama. - DagangNews.com