PLS Plantations diberi tempoh 6 bulan lagi selesaikan isu pemegangan saham awam | DagangNews Skip to main content

PLS Plantations diberi tempoh 6 bulan lagi selesaikan isu pemegangan saham awam

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Sept. - PLS Plantations Berhad, syarikat yang kini menumpukan kepada perniagaan tanaman durian diberikan tempoh lanjutan enam bulan lagi oleh Bursa Malaysia Securities Berhad untuk memenuhi syarat pemegangan saham awam. 

 

Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia, lanjutan tempoh sehingga 28 February 2022 itu dimaklumkan oleh Bursa Securities menerusi surat bertarikh 8 September lalu.

 

“Syarikat buat masa ini tidak memenuhi Keperluan Tebaran Pemegangan Saham Awam. 

 

“Berdasarkan Rekod Pendeposit syarikat pada 30 Ogos 2021, tebaran pemegangan saham awam syarikat pada kadar 10.16%, berkurang sebanyak 14.84% daripada Keperluan Tebaran Pemegangan Saham Awam,” jelas PLS Plantations, hari ini.

 

PLS Plantations dengan kerjasama syarikat pemegangan dan pemegang saham tunggal terbesar akan terus meneroka pilihan yang ada untuk menangani kekurangan tersebut dalam tempoh masa yang diberikan.

 

Tambah PLS Plantations, syarikat akan terus mengawasi tahap tebaran saham awam itu dan membuat pengumuman pada masa akan datang berhubung perkara tersebut.

 

Sekitar awal tahun ini, PLS Plantations menyaksikan penyertaan bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi CIMB,  Datuk Seri Mohamed Nazir Abdul Razak sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif berkuatkuasa 10 Februari 2021. 

 

Nazir menyertai Lembaga Pengarah syarikat selepas PLS Plantations membuat tawaran saham baharu persendirian sebanyak 19 juta kepada beliau, pada kadar 95 sen sesaham.

 

Langkah tersebut, seperti dilaporkan oleh The Edge pada 31 Ogos lalu, bertujuan menambah baik tahap tebaran pemegangan saham awam syarikat selain meningkatkan wang untuk membiayai pengembangan perniagaannya yang sedia ada. 

 

Setakat 3.30 petang, harga saham PLS Plantations menyusut 2 sen kepada 93 sen. - DagangNews.com