PLUS jangka trafik meningkat 1.3 juta sejurus rentas negeri dibenarkan semula | DagangNews Skip to main content

PLUS jangka trafik meningkat 1.3 juta sejurus rentas negeri dibenarkan semula

 

PETALING JAYA 8 Okt – Trafik di lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dijangka meningkat antara 1.1 juta hingga 1.3 juta kenderaan setiap hari apabila perjalanan antara negeri dibenarkan semula selepas pengumuman oleh Kerajaan.

 

PLUS menjangkakan ramai penduduk Lembah Klang serta dari negeri-negeri lain akan merebut peluang yang ditunggu-tunggu ini untuk bersama keluarga dan sahabat handai.

 

Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata,  PLUS bersedia untuk membuka semula semua 94 plaza tol di seluruh wilayah utara dan selatan untuk menerima pertambahan kenderaan sebaik sahaja sekatan perjalanan antara negeri ditarik balik.

 

PLUS ujar beliau, teruja bahawa lebih 90% daripada penduduk dewasa telah diberi vaksin sepenuhnya dan kini dapat melakukan perjalanan di lebuh raya kami seperti biasa, namun, ingin tetap memberi peringatan terhadap keperluan kepatuhan SOP Covid-19.

 

Menurutnya, PLUS menggalakkan pemandu untuk berehat selepas memandu selama dua jam di R&R dan Hentian Sebelah PLUS untuk berehat dan menyegarkan tubuh mereka.

 

‘’Mereka diingatkan untuk tetap mengikuti SOP MKN termasuk memeriksa MySejahtera, mengambil suhu, memakai topeng muka yang betul, menjaga penjarakan fizikal, dan sentiasa memastikan kebersihan tangan mereka, kerana ia masih merupakan sebahagian SOP di sepanjang lebuh raya kami", jelas  Zakaria dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Keselamatan dan keselesaan tetap menjadi keutamaan, maka kakitangan PLUS yang terdiri daripada PLUSRonda, pasukan keselamatan dan penyelenggaraan lebuh raya serta kakitangan perkhidmatan pelanggan di seluruh laluan sepanjang 1,130 km sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan.

 

Kerjasama dengan Polis Trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga meningkatkan penguatkuasaan di lebuh raya yang memberi ketenangan kepada pelanggan lebuh raya.

 

 

Datuk Zakaria Ahmad Zabidi
Datuk Zakaria Ahmad Zabidi

 

 

Semua kemudahan awam di 29 R&R PLUS dan 50 Hentian Sebelah sentiasa dibersihkan mengikut jadual pembersihan yang ketat sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang PLUS untuk memastikan kebersihan dikekalkan kerana kemudahan seperti surau dan tandas dibuka 24 jam sehari.

 

Pelanggan lebuh raya juga mempunyai pilihan untuk menikmati tawaran makanan yang disediakan rakan perniagaan R&R terpilih melalui fungsi pra-pesanan https://orderdisini.plus.com.my untuk di bawa pulang.

 

Perancangan perjalanan kini lebih mudah melalui fungsi Aplikasi PLUS yang dapat dimuat turun melalui PlayStore atau AppStore. Dapatkan lebih banyak ganjaran apabila anda mendaftar sebagai ahli PLUSMiles melalui www.plus.com.my 

 

 

PLUS

 

 

Dapatkan berita, maklumat keadaan trafik dan promosi terkini melalui kesemua platfom sosial media PLUS seperti Twitter, Facebook, Instagram, LinkedIn dan Youtube. – DagangNews.com