PLUS lantik Ahmad Rizal sebagai Ketua Pegawai Kewangan baharu | DagangNews Skip to main content

PLUS lantik Ahmad Rizal sebagai Ketua Pegawai Kewangan baharu

KUALA LUMPUR 1 Ogos - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melantik Ahmad Rizal Omar sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) yang baharu bagi menerajui hala tuju kewangan organisasi itu ke arah pengukuhan dan kedudukan yang lebih strategik.

 

Ahmad Rizal merupakan lulusan Ijazah Sarjana Kewangan daripada University of Cambridge dan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Perakaunan) daripada Royal Melbourne Institute of Technology.

 

Beliau juga adalah akauntan bertauliah dengan 24 tahun pengalaman dalam penilaian pelaburan serta pengurusan, kewangan korporat dan perakaunan bertauliah di Turkiye dan rantau Asia Pasifik.

 

"Pengalaman dan kecekapan kewangan Ahmad Rizal akan menjadi tonggak utama dalam operasi pemulihan pascapandemik PLUS dan pada masa akan datang," kata PLUS dalam kenyataan media hari ini.

 

Beliau melibatkan diri dalam bidang kewangan korporat di Axiata Group Berhad dan menyelia beberapa projek bertaraf antarabangsa membabitkan pelaburan antarabangsa Axiata serta pernah berkhidmat dengan Khazanah Nasional Bhd sebagai Naib Presiden Kanan, Pelaburan.

 

Ahmad Rizal kemudiannya menyertai Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sebagai Pengurus Besar Perancangan Kewangan dan Perkhidmatan Guna Sama dan Pemangku Ketua Pegawai Kewangan (CFO) MAHB.

 

Beliau kemudiannya dilantik sebagai CFO dan Ketua Perancangan Strategik dan Pengurusan Perbendaharaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen milik MAHB di Turkiye. - DagangNews.com