PETALING JAYA 1 Julai - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah melancarkan Laporan Kelestarian yang pertama melalui sesi Town Hall secara maya yang disertai oleh lebih daripada 1,700 kakitangan PLUS baru baru ini. Laporan ini turut menunjukkan komitmen serta pencapaian PLUS dalam bidang kelestarian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, sebagai pengendali lebuh raya terbesar di Malaysia, syarikat menyedari peranan pentingnya dalam menyokong Kerajaan merealisasikan visi “Smart Highway of the Future” serta tanggungjawab terhadap alam sekitar dan masyarakat.
"Menyedari hal ini, kami telah melaksanakan pelbagai inisiatif demi memastikan perjalanan yang lebih selamat dan selesa, di samping menjaga alam sekitar, bertanggungjawab secara sosial dan melaksanakan tadbir urus yang baik.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi aspirasi, usaha dan pencapaian kelestarian kami melalui laporan ini. Penerbitannya merupakan bukti komitmen PLUS untuk memberikan nilai-nilai lestari kepada semua pihak berkepentingan kami bagi merealisasikan budaya ‘Menjaga Anda Dengan Baik, Di Sepanjang Perjalanan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, PLUS telah menerima Anugerah Tenaga Kebangsaan (National Energy Awards) 2020 bagi kategori Pengurusan Tenaga Bangunan Besar serta Naib Juara Anugerah Tenaga ASEAN (AEA) di peringkat Nasional dan Antarabangsa.
Melalui inovasi pendigitalan ujar beliau, PLUS telah merekodkan penjimatan sehingga 25% dalam penggunaan tenaga dan mencapai pengurangan pelepasan GHG (Green House Gas) yang ketara.
"Laporan kami menggariskan langkah-langkah yang diambil untuk meminimumkan impak perubahan iklim bagi melindungi keselamatan pelanggan lebuh raya kami. Berpandukan kepada Pelan Hala Tuju Hijau PLUS, laporan tersebut berkongsi aspirasi kami dalam mempercepatkan usaha demi kelestarian alam sekitar, termasuk pengurusan air dan sisa”, tambah beliau.
Laporan ini juga memperincikan pelbagai usaha, inovasi dan pencapaian PLUS -. Pada tahun 2020, sebanyak 170 proses kerja telah didigitalkan dan menghasilkan penjimatan sebanyak 1,300 jam dalam waktu kitaran pemproses di samping merekod penjimatan sebanyak 3 juta helaian penggunaan kertas.
PLUS juga tetap komited dalam membudayakan pembelajaran berterusan demi meningkatkan keupayaan tenaga kerjanya melalui kejayaan melengkapkan 27,000 jam latihan secara maya kepada hampir 2,300 kakitangan.
Satpal Singh, Ketua Pegawai Tadbir dan Risiko, yang bertanggungjawab memantau aktiviti kelestarian di PLUS berkata, PLUS merupakan nadi utama rangkaian logistik di Semenanjung Malaysia dan pemangkin aktiviti sosio ekonomi.
Katanya, dalam mengharungi pelbagai peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syarikat berusaha keras untuk memastikan penghantaran barang dan kesinambungan perkhidmatan asas penting menjadi keutamaan di lebuh raya, di samping mematuhi SOP.
"Kami juga telah menyokong barisan hadapan dan komuniti tempatan melalui bantuan kewangan dan program CSR, yang telah memberi manfaat kepada lebih 10,000 individu,” kata Satpal.
Laporan ini boleh dimuat turun daripada laman web www.plus.com.my dan di semua platform media sosial PLUS. - DagangNews.com