PLUS uji SmartLane bantu lancarkan trafik di laluan USJ-Seafield Lebuhraya Elite mulai 1 Jun 2023 | DagangNews Skip to main content

PLUS uji SmartLane bantu lancarkan trafik di laluan USJ-Seafield Lebuhraya Elite mulai 1 Jun 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mei - Bagi membantu melancarkan pergerakan trafik di laluan USJ-Seafield terutamanya pada waktu puncak di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), PLUS Malaysia Bhd (PLUS) akan mengadakan ujian rintis awam ‘SmartLane’ di laluan terbabit bermula 1 Jun 2023.

 

Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, ujian rintis awam itu dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). 

 

Katanya, ia bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan semua laluan dan meningkatkan kapasiti lorong bagi mengurangkan kesesakan trafik di laluan kritikal lebuh raya.

 

Menurutnya, ujian rintis awam laluan SmartLane akan dilaksanakan di laluan USJ ke Seafield di antara KM8.1 hingga KM6.1 (Arah Utara) di Lebuhraya ELITE mulai pukul 6:30 pagi hingga 9:30 pagi setiap  Isnin hingga Ahad (kecuali hari kelepasan am) bermula 1 Jun sehingga 31 Ogos 2023.

 

"Sepanjang tempoh tersebut, lorong paling kiri yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan untuk menambah kapasiti lorong sedia ada dan membantu melancarkan trafik pada waktu puncak pagi.

 

"Ketika laluan SmartLane ini diaktifkan, pengguna lebuh raya dibenarkan memasuki dan memandu di laluan kecemasan untuk sementara sebagai langkah menambah kapasiti laluan terbabit sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama lebuh raya bagi meneruskan perjalanan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Bagaimanapun katanya, pengguna lebuh raya dilarang sama sekali menggunakan bahu jalan/laluan kecemasan di lokasi-lokasi lain di mana tiada laluan SmartLane diaktifkan.

 

 

plus
                                       Mohd Yusuf Abdul Aziz

 

 

Katanya, berdasarkan kajian dan rekod PLUS, pertembungan trafik serta keadaan jalan yang sedikit mendaki menyebabkan peningkatan trafik yang tinggi dan sedikit perlahan di laluan tersebut. 

 

"Oleh yang demikian, langkah proaktif PLUS melaksanakan ujian rintis awam laluan SmartLane di kawasan terbabit adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas yang dihadapi orang ramai pada waktu puncak setiap pagi pada hari-hari bekerja di Lebuhraya ELITE, di samping membantu PLUS memperbaiki tahap perkhidmatan kami di lebuh raya," katanya.

 

Beliau berkata, PLUS juga telah melakukan pelbagai persediaan untuk melaksanakan inisiatif itu dengan pemantauan anggota polis, JPJ dan pasukan PLUSRonda serta memasang papan tanda trafik dan menyediakan trak tunda tambahan di lokasi sekiranya berlaku kecemasan.

 

"Secara puratanya, kira-kira 75,000 kenderaan menggunakan laluan USJ-Seafield di Lebuhraya ELITE pada setiap hari. Daripada jumlah tersebut, 58% menggunakan laluan terbabit secara serentak pada waktu puncak di sebelah pagi," katanya.

 

 

plus

 

Jelas beliau, laluan SmartLane dijangka dapat memendekkan tempoh perjalanan pada waktu puncak sekiranya tiada sebarang insiden seperti kemalangan atau kerosakan kenderaan di laluan tersebut.

 

Dalam pada itu, pengguna lebuh raya boleh mengenalpasti penggunaan laluan SmartLane melalui papan tanda laluan SmartLane serta pengawal trafik yang ditempatkan di lokasi terbabit atau merujuk laman media sosial PLUS di Facebook dan Twitter PLUSTrafik.

 

Pada masa sama, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan terbabit. - DagangNews.com