PM Anwar adakan pertemuan dua hala dengan Presiden Erdogan bincang kaedah tangani Islamofobia di peringkat global | DagangNews Skip to main content

PM Anwar adakan pertemuan dua hala dengan Presiden Erdogan bincang kaedah tangani Islamofobia di peringkat global

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Turkish House di Manhattan, New York bagi mengadakan pertemuan dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan. - Foto Anadolu Agency
Oleh D. Arul Rajoo

NEW YORK 21 Sep – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Turkish House di Manhattan di sini untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.

 

Kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan di luar Sesi ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA), Bernama melaporkan.

 

Menurut pegawai, antara tajuk perbincangan antara kedua-dua pemimpin itu ialah berkaitan usaha mencari jalan untuk menangani Islamophobia di peringkat global.

 

Bulan lepas Anwar memberitahu media bahawa beliau telah berbincang mengenai perkara itu dengan Erdogan menerusi perbualan telefon, dan mereka bersetuju untuk melihat kemungkinan memulakan suatu pergerakan dan melakukan sesuatu bagi mengatasi serangan terhadap Islam, terutama Amerika Syarikat dan Eropah.

 

Dalam perkembangan sama, Anwar dan Erdogan mengutuk sekeras-kerasnya pembakaran al-Quran baru-baru ini dan wacana populis yang menghasut ucapan kebencian terhadap Islam.

 

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini selepas pertemuan pemimpin itu di New York di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-78, mereka juga menyatakan kebimbangan terhadap kemunculan "bentuk perkauman baharu" yang bercirikan xenofobia, profil negatif, dan stereotaip terhadap umat Islam.

 

Erdogan dan Anwar juga menyatakan "kebimbangan mendalam" mengenai "trend peningkatan kebencian, sikap tidak bertoleransi, diskriminasi, dan tindakan keganasan terhadap umat Islam dan kesucian mereka yang telah mencapai tahap yang membimbangkan di banyak bahagian dunia, terutamanya di Eropah," Agensi Anadolu memetik kenyataan itu.

 

PM

 

Kedua-dua pemimpin itu berkata, mereka menyambut baik penerimaan Resolusi Perhimpunan Agung 76/254 untuk mengisytiharkan 15 Mac sebagai "Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia."

 

Mereka juga menyambut baik perbahasan segera semasa sesi ke-53 Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membincangkan "peningkatan yang membimbangkan" dalam tindakan kebencian agama yang dirancang dan dilakukan secara terbuka seperti yang dimanifestasikan oleh penghinaan berulang-ulang terhadap al-Quran dan penerimaan resolusi Hak Asasi Manusia PBB yang mendefinisikan pembakaran kitab suci sebagai kebencian agama.

 

Pemimpin-pemimpin itu juga mengalu-alukan Resolusi Perhimpunan Agung 77/318 mengenai Mempromosikan Dialog Antara Agama dan Antara Budaya serta Toleransi dalam Menentang Ucapan Kebencian yang diterima pakai pada 25 Julai.

 

Menurut kenyataan itu, Erdogan dan Anwar juga menekankan bahawa tindakan kebencian agama, perkauman, diskriminasi, dan xenofobia merupakan ancaman terhadap keamanan dan menghasut budaya keganasan.

 

Pemimpin-pemimpin itu juga menyeru semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, untuk meningkatkan usaha menangani diskriminasi, xenofobia, perkauman dan ucapan kebencian mengikut prinsip hak asasi manusia antarabangsa.

 

Selepas pertemuan dengan Erdogan, perdana menteri dijadualkan bertemu dengan Presiden Iran Seyed Ebrahim Raisi, diikuti dengan Presiden Sri Lanka Ranil Wickremesinghe.

 

Ini merupakan kemunculan pertama Anwar sebagai perdana menteri di perhimpunan tahunan itu dan beliau dijadual menyampaikan Pernyataan Negara Malaysia di Perbahasan Umum di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu pada Jumaat (22 September).

 

Anwar diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa. - DagangNews.com