PM arah siasatan segera terhadap dakwaan salah laku Tommy Thomas | DagangNews Skip to main content

PM arah siasatan segera terhadap dakwaan salah laku Tommy Thomas

Tan Sri Tommy Thomas
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Sept - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan siasatan lanjut segera dilaksanakan agensi penguat kuasa berkaitan bagi menyiasat kemungkinan salah laku bekas peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas.

 

Ismail Sabri berkata, Pasukan Petugas Khas telah menyiasat dakwaan dalam buku tulisan Thomas bertajuk "My Story: Justice in the Wilderness", yang mana laporan siasatannya dibentang dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini. 

 

Beliau berkata, laporan tersebut telah disediakan oleh pasukan itu dalam tempoh 9 bulan, bermula Disember 2021 sehingga Ogos 2022, dengan memperincikan setiap dakwaan-dakwaan yang disebut  Thomas dalam bukunya itu.

 

"Berdasarkan siasatan yang telah dibuat, pasukan ini telah mengkategorikan 19 isu-isu penting yang dikesan dalam buku tersebut kepada 4 isu utama iaitu, pertama, dakwaan ke atas Badan Kehakiman, kedua, pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan.

 

"Ketiga, tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian profesional dan keempat, kenyataan berbaur hasutan," katanya dalam satu kenyataan.

 

 

pm

 

 

Menurut Perdana Menteri, Pasukan Petugas Khas seterusnya telah mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil.

 

Katanya, siasatan akan dijalankan antaranya, Seksyen 124I Kanun Keseksaan (penyebaran laporan palsu). - DagangNews.com