PM dijangka lepaskan jawatan, ringgit boleh menguji paras RM4.30 - Kenanga | DagangNews Skip to main content

PM dijangka lepaskan jawatan, ringgit boleh menguji paras RM4.30 - Kenanga

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Ringgit boleh menguji paras rintangan  pada RM4.30 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan meruncingnya kemelut politik negara, menurut Kenanga Research. 

 

Ini memandangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka melepaskan jawatannya hari ini setelah sekian lama berdepan tekanan politik sejak kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih kepimpinan negara pada Mac tahun lalu. 

 

Firma itu menjangkakan, ringgit akan diniagakan pada julat antara RM4.23 hingga RM4.25 minggu ini.

 

"Keadaan ini juga disebabkan penularan varian Delta di seluruh dunia mungkin menjejaskan pasaran minyak mentah sekali gus mengheret turun harga minyak mentah Brent.

 

"Selain itu, sebarang petunjuk yang cenderung kepada dolar AS berikutan terbitan data jualan runcit AS pada Julai dan FOMC akan terus memberi tekanan kepada unit mata wang tempatan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Menurut firma itu, di sebalik data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih baik dan 30% penduduk dewasa sudah divaksinasi, ringgi terus lemah berbanding dolar AS pada minggu lalu. 

 

"Dengan indeks dolar AS yang tinggi, ringgit bergelut untuk mengekalkan kedudukannya apabila kes COVID-19 terus meningkat melebihi paras 20,000 manakala minyak mentah Brent terus menguji paras AS$70 setong," katanya. 

 

Ringgit susut ke paras terendah dalam tempoh satu tahun ketika dibuka pagi ini pada paras 4.241 atau 0.07% berbanding dolar AS dipengaruhi oleh sentimen lemah dengan pelabur tidak memasuki pasaran sambil menantikan perkembangan politik semasa dalam negara hari ini.

 

Minggu lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, ringgit menyusut nilai berbanding dolar AS sebanyak 1.7% sejak 1 Julai hingga 9 Ogos 2021.

 

Penyusutan ini sejajar dengan prestasi kebanyakan mata wang serantau lain berikutan dolar AS yang secara keseluruhan bertambah kukuh. 

 

Memandangkan keadaan berhubung dengan momentum pemulihan ekonomi global dan dalam negeri pada masa hadapan masih tidak menentu, ringgit dijangka terus terdedah kepada tempoh volatiliti yang ketara. - DagangNews.com