PM dijangka umum kebenaran rentas negeri jam 3 petang ini, kadar vaksinasi 90% | DagangNews Skip to main content

PM dijangka umum kebenaran rentas negeri jam 3 petang ini, kadar vaksinasi 90%

 

TERKINI BACA - PM: Kebenaran rentas negeri bagi yang lengkap vaksinasi mulai 11 Oktober 2021

 

PUTRAJAYA 10 Okt - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka mengumumkan kebenaran rentas negeri pada pukul 3 petang ini, yang akan disiarkan menerusi media elektronik.

 

Ini seiring dengan sasaran Majlis Pemulihan Negara mencapai 90% kadar vaksinasi dalam kalangan populasi dewasa pada bulan ini.

 

Setakat 11.59 malam 9 Oktober, Malaysia mencatat 89.7% populasi dewasa atau 21,003,074 orang telah lengkap menerima dos vaksinasi COVID-19, menjadikan sasaran untuk mencapai 90% hanya berbaki 0.3%.

 

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan disiarkan portal  COVIDNOW, sebanyak  94.7% atau  22,176,018 individu bagi populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

 

Selain itu, sejumlah 83,443 dos suntikan vaksin diberikan semalam bagi golongan dewasa melibatkan 8,236 suntikan dos pertama, manakala 75,207 lagi dos kedua. 

 

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi  Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancar sejak 24 Feb lalu meningkat kepada 43,067,793.

 

Bagi golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, setakat semalam sebanyak 204,536 atau 6.5% telah melengkapkan suntikan vaksin manakala 71.5% atau 2,248,867 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

 

Pada 22 Sept, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti merentas negeri akan dibenarkan apabila 90 peratus golongan dewasa telah melengkapkan vaksinasi COVID-19 mereka. - DagangNews.com

 

BACA JUGA : Pengguna LPT2 ke Pantai Timur dijangka naik sehingga 45,000 kenderaan sehari