PM Ismail Sabri ucap terima kasih kepada semua jayakan Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia | DagangNews Skip to main content

PM Ismail Sabri ucap terima kasih kepada semua jayakan Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia

PUTRAJAYA 13 Dis - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat membantu kejayaan program Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia selama empat hari yang berakhir semalam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

 

''Terima kasih kepada kementerian, agensi, pempamer, usahawan, artis, pengunjung, pihak berkuasa serta kepada semua yang membantu kejayaan program ini,'' kata Perdana Menteri.

 

Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) mencatatkan jumlah pengunjung di luar jangkaan dengan lebih 70,000 hadir sepanjang empat hari ia berlangsung.

 

Program kali pertama seumpama ini dilihat berjaya menarik perhatian masyarakat kerana pelbagai perkhidmatan secara langsung ditawarkan, selain peluang menarik disediakan oleh agensi kerajaan yang terbabit.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Wan Azilawati Wan Mahmood berkata, letusan kehadiran pengunjung ke program AKM membuktikan rakyat sentiasa menantikan aktiviti seumpama ini dan menyokong usaha yang dilaksanakan.

 

Katanya, biarpun ada sedikit kesulitan berlaku pada awalnya kerana kebanjiran pengunjung, ia langsung tidak menghalang pengunjung untuk terus mendapatkan perkhidmatan secara langsung yang ditawarkan sepanjang program itu.

 

"Program Job Fair yang menawarkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan secara terus kepada yang terpilih menjadi antara faktor penarik ketika ramai yang kehilangan pekerjaan pada hari ini.

 

"Jom Masuk IPT juga menjadi antara tarikan kerana daripada situ ramai pelajar yang ingin melanjutkan pengajian juga memperoleh pelbagai maklumat terkini," katanya ketika ditemui Berita Harian di sini, semalam.


 

Pengarah Eksekutif Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Wan Azilawati Wan Mahmood
                                           Wan Azilawati Wan Mahmood

 

 

Program AKM yang diadakan ini sebagai tanda genap tempoh 100 hari pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merujuk gaya kepemimpinan beliau itu dengan slogan Keluarga Malaysia.

 

Pengunjung Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia boleh terus membuat semakan saman di kios Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

 

Ia juga sempena meraikan kejayaan semua kementerian yang mencapai sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI).

 

Dalam pada itu, beliau berkata, melihat sambutan memberangsangkan ini, SEPADU dijangka akan melaksanakannya dalam siri jelajah ke negeri lain bagi memberi peluang kepada penduduk di luar ibu kota pula.


 

PM

 

PM

 

PM

 

PM

 


"Selain mendekati semua agensi kerajaan berkaitan, orang ramai sekali gus boleh menghayati dan menyelami aspirasi dan ilham yang dicetuskan Perdana Menteri menerusi AKM ini.

 

"Tiga teras yang ditekankan, iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran, itu akhirnya dapat dihayati oleh setiap orang," katanya.

 

Selain kunjungan secara fizikal, orang ramai juga boleh ke laman web Keluarga Malaysia dan SEPADU untuk melihat pelbagai maklumat yang dikongsikan. - DagangNews.com