PM janji PRU-15 selewat-lewatnya Julai tahun hadapan | DagangNews Skip to main content

PM janji PRU-15 selewat-lewatnya Julai tahun hadapan

 

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Perdana Menteri membuat akujanji bahawa pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan selewat-lewatnya penghujung Julai 2022 bergantung pada situasi pandemik semasa.

 

Malah, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas petang ini 'Bersama Memulihkan Negara' menyatakan adalah wajar mandat dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu apabila tiba masa yang lebih sesuai.

 

"Saya tidak berhasrat untuk terus berpaut pada dahan kuasa," katanya sebentar tadi. 

 

Beliau juga menegaskan sentisa patuh kepada Perlembagaan dan akan mengambil jalan yang terhormat untuk menyelesaikan kemelut politik yang sedang berlaku.

 

Namun, katanya, sehingga saat ini tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan Yang diPertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu.

 

"Jika saya meletak jawatan pada masa ini, bukan saya seorang sahaja yang berhenti menjadi Perdana Menteri. 

 

"Menurut Perlembagaan Persekutuan, saya hendaklah meletakkan jawatan seluruh anggota Jemaah Menteri. 

 

"Ini bermakna Kerajaan Perikatan Nasional yang mentadbir negara pada masa ini akan jatuh," katanya.

 

Perdana Menteri berkata, dengan memikirkan dalam keadaan tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat
lain yang mendapat sokongan majoriti pada masa ini, Perdana Menteri yang baharu tidak boleh dilantik menurut Perlembagaan. 

 

Tambahnya, apabila Perdana Menteri tidak boleh dilantik, maka kabinet pun tidak boleh dilantik dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk.

 

"Tempoh dua bulan akan datang adalah amat genting. Jika semua perancangan kerajaan dapat dilaksanakan seperti yang dijadualkan, kita akan mencapai imuniti kelompok pada Oktober. 

 

"Sekiranya terganggu dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan kerajaan yang sah tidak dapat dibentuk, sasaran imuniti kelompok tidak akan dapat dicapai dan nyawa rakyat akan terus berada dalam bahaya," jelasnya. - DagangNews.com