PM lancar program jualan keperluan asas Keluar Malaysia dari pengeluar terus ke pengguna | DagangNews Skip to main content

PM lancar program jualan keperluan asas Keluar Malaysia dari pengeluar terus ke pengguna


PUTRAJAYA 1 Dis - Program jualan keperluan asas untuk Keluarga Malaysia akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pantai Dalam, Kuala Lumpur petang esok melibatkan pelbagai barangan harian dengan harga antara 15 hingga 20% lebih rendah dari pasaran.

 

Program inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ini akan turut melibatkan pelbagai agensi berkaitan perbekalan dan jualan keperluan asas.

 

Agensi yang terlibat dalam menjayakan program ini termasuk agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan selain pelbagai syarikat swasta dalam rantaian pemborongan serta pengeluar barangan keperluan asas.

 

Program ini adalah susulan langkah-langkah penguatkuasaan yang diambil oleh 2,300 anggota penguat kuasa KPDNHEP seluruh negara termasuk menggerakkan lebih 1,000 pegawai pemantau harga bagi mengawal 480 produk kawalan di premis seluruh negara.

 

Antara barangan keperluan asas yang bakal ditawarkan ialah ayam proses standard, telur ayam, ikan segar dan sejuk beku seperti ikan kembung, selayang, selar, pelaling dan cencaru. Manakala sayuran termasuk cili merah, bawang besar, tomato, sayur berdaun, kubis dan kentang.

 

Barangan proses seperti sardin, susu pekat manis, kicap, sos cili dan tomato serta ikan bilis turut ditawarkan oleh sekurang-kurangnya 20 pengeluar dan pemborong utama barangan keperluan asas ini.


 

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi

 


Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian memahami apa yang diperlukan oleh rakyat adalah harga barangan yang mampu dimiliki dan memastikan tiada yang kelaparan di rumah.

 

“Harapan kami supaya inisiatif bersama ini dapat memberi manfaat kepada pengguna, terutamanya golongan B40,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Alexander berkata, Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di setiap negeri sudah diarahkan untuk bersiap sedia dan mengenal pasti lokasi yang bersesuaian bagi pelaksanaan program JKM ini di setiap negeri.

 

Inisiatif ini akan turut diadakan di seluruh negara terutama di kawasan bandar besar, pinggir bandar dan pedalaman bagi membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup ekoran peningkatan harga barangan keperluan asas. - DagangNews.com