PM lancar Rangka Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp) | DagangNews Skip to main content

PM lancar Rangka Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp)

PUTRAJAYA 25 Okt - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan Rangka Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp) untuk meningkatkan daya saing perdagangan Malaysia menerusi ekosistem perniagaan yang lebih baik.

 

Rangka tindakan itu menggariskan strategi dan inisiatif pembangunan lima tahun (2021-2025) untuk meningkatkan daya saing perdagangan Malaysia, khususnya dalam eksport barang dagangan.

 

Perdana Menteri berkata, pelan hala tuju dengan lapan teras strategik dan 40 cadangan itu menyediakan peluang untuk memperkukuhkan kedudukan Malaysia di arena antarabangsa.

 

Beliau berkata, ia juga menangani perubahan struktur yang diperlukan untuk sektor eksport berkembang maju menerusi pengukuhan kemudahan perdagangan, logistik, pematuhan standard, akses pasaran, kemampanan, pendigitalan dan teknologi, pelaburan dan penjenamaan.

 

Katanya, cadangan itu akan dilaksanakan oleh lapan kumpulan kerja yang terdiri daripada pakar dari sektor awam dan swasta.

 

"Rangka tindakan ini mencerminkan cita-cita jelas kerajaan untuk memajukan lagi kedudukan dan daya saing Malaysia dalam perdagangan antarabangsa.

 

"Yang lebih penting, rangka tindakan ini ditetapkan untuk melengkapkan dasar yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ke arah mencapai sasaran dengan cadangan jelas, boleh dilaksanakan dan berfokus," katanya pada pelancaran secara maya itu, lapor Berita Harian.

 

Hadir sama, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

 

 

PM
Perdana Menteri berucap melancarkan Rangka Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp) yang diadakan secara maya di Putrajaya, hari ini.


 

Ismail Sabri berkata, rangka tindakan itu juga melengkapkan dasar dan pelan induk lain, ke arah matlamat utama iaitu rangka kerja eksport yang lebih baik.

 

Beliau berkata, ia sejajar dengan landskap perdagangan dan keperluan komuniti perniagaan semasa.

 

Katanya, rangka tindakan itu memerlukan pelaksanaan berkesan terhadap cadangan yang digariskan untuk meningkatkan daya saing perdagangan.

 

"Saya percaya pelaksanaan rangka tindakan, yang membabitkan kerjasama dan komitmen yang jitu daripada pelbagai kementerian, agensi dan sektor swasta dalam ekosistem perniagaan, akan membawa kejayaan.

 

"Rangka tindakan ini akan meningkatkan daya saing perdagangan negara dan mengukuhkan kedudukan sebagai negara pengeksport terkemuka," katanya. - DagangNews.com