PM lancar Yayasan Keluarga Malaysia bantu keluarga terjejas COVID-19 | DagangNews Skip to main content

PM lancar Yayasan Keluarga Malaysia bantu keluarga terjejas COVID-19

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com
 

 

KUCHING 23 Okt – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Yayasan Keluarga Malaysia sebagai institusi yang akan membantu anak-anak Keluarga Malaysia dalam memperoleh sokongan, terutamanya daripada aspek pendidikan sehingga mereka mencapai usia 18 tahun.

 

Yayasan Keluarga Malaysia  kata beliau merupakan manifestasi kasih sayang seluruh Keluarga Malaysia, yang dizahirkan bersama untuk anak-anak yang terkesan pandemik.

 

Seterusnya kata Perdana Menteri, Yayasan ini akan melebar sayap perlindungannya kepada anak-anak Keluarga Malaysia yang lain, yang turut memerlukan sokongan seumpamanya.

 

‘’Inilah maksud keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam Keluarga Malaysia.

 

‘’Saya menyeru seluruh Keluarga Malaysia, bersama membantu generasi ini. Harapan saya, dengan adanya Yayasan Keluarga Malaysia, tidak ada lagi anak Keluarga Malaysia yang terpaksa melalui penderitaan bersendirian.

 

‘’Justeru, tinggi harapan saya agar seluruh Keluarga Malaysia kekal bersama dengan mengetepikan perbezaan dan meraikan kebersamaan sebagai sebuah keluarga besar Malaysia,’’ katanya.

 

Perdana Menteri berkata demikian pada majlis pelancaran Keluarga Malaysia di sini malam ini.

 

Yang turut hadir Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

 

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob


Terdahulu, Perdana Menteri menceritakan kisah 13 anak yang masih kecil usianya daripada dua buah keluarga, hilang tempat bergantung dan berpaut kasih akibat pandemik COVID-19.

 

Menurut beliau, Nazurah Nabilah Benyajeed, berusia 19 tahun yang terpaksa menjaga 7 adiknya, manakala Hadrami bin Hasil menjadi kepala keluarga pada usia 11 tahun, untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama 4 adiknya. Ironinya, adik bongsu Hadrami baru berusia 3 tahun.

 

Ismail Sabri berkata, anak-anak ini adalah antara 5,173 anak Keluarga Malaysia yang menjadi yatim dan yatim piatu, kerana wabak COVID-19.

 

‘’Bayangkan, betapa besarnya tanggungjawab yang digalas mereka. Yang hilang bukan sahaja ibu bapa, bahkan waktu-waktu bahagia, membesar sebagai kanak-kanak biasa.

 

‘’Maka, dengan rasa rendah diri, saya ingin menyeru seluruh Keluarga Malaysia, untuk berkongsi kasih sayang dengan anak-anak ini, agar mereka dapat menikmati kehidupan seperti rakan-rakan seusia mereka,’’ kata Ismail Sabri. – DagangNews.com