PM minta penjawat awam, GLC bantu rakyat yang susah | DagangNews Skip to main content

PM minta penjawat awam, GLC bantu rakyat yang susah

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 1 Mac - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua penjawat awam memberi tumpuan kepada usaha membantu golongan yang memerlukan. 

 

"Ini keutamaan nombor satu. Dalam waktu yang sukar ini, percepatkan proses penyampaian bantuan kepada rakyat. 

 

"Mereka tidak boleh tunggu lama-lama. Sehari lewat mungkin dapur mereka tidak berasap," katanya. 

 

Beliau juga berkata, ini juga termasuk permohonan-permohonan daripada peniaga, pengusaha dan pelabur. 

 

"Permudahkan proses untuk mereka melabur, memula dan memulihkan perniagaan masing-masing," tegas beliau.

 

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Setahun Malaysia Prihatin yang disiarkan secara langsung pagi ini.

 

Menurut Perdana Menteri, seperti aur dengan tebing, kerajaan dan penjawat awam tidak mungkin dapat dipisahkan. 

 

Kejayaan demi kejayaan dicapai bersama meskipun tidak sedikit rintangan yang terpaksa diatasi. 

 

"Hubungan dan muafakat yang utuh di antara Kerajaan dan penjawat awam ibarat seikat bak sirih, serumpun bak serai. 

 

"Bak kata pepatah, kepimpinan berkesan ibarat kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan," katanya lagi. 

 

Malah, beliau berkata, pemimpin kerajaan sama ada ahli politik mahu pun penjawat awam, wajiblah melindungi semua rakyat.
 

"Semuanya mesti dilayan dengan saksama dan dibela secara adil," tambahnya.

 

Dalam masa sama, Muhyiddin juga meminta syarikat milik kerajaan (GLC) dan badan-badan berkanun melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu masyarakat yang susah. 

 

Beliau menyifatkan, ini adalah tempoh untuk berbakti kepada masyarakat.

 

"Saya terima banyak permohonan daripada peniaga-peniaga yang memohon dikecualikan bayaran sewaan premis GLC yang mereka duduki untuk berniaga. 

 

"Pertimbangkanlah permohonan-permohonan ini sebaik-baiknya. Banyak peniaga yang mengalami kerugian.

 

"Bantulah mereka untuk menyelamatkan perniagaan dan bangkit kembali," katanya. - DagangNews.com